Month: June 2011

Rejab Dalam Sejarah Dulu Dan Kini

Posted on Updated on

Tarikh : 7 Rejab 872 hijrah ( 2 Februari 1468 m)

Termeteri perjanjian antaran 25 buah negara Eropah untuk menghancurkan kerajaan Othmaniyyah yang semakin meluas pengaruhnya ke Eropah, akan tetapi kesemuanya gagal untuk menundukkan kekuatan kerajaan Othmaniyyah yang pada ketika itu ditadbir oleh Sultan Mohd al Fateh.

Hari ini : 12 Rejab 1432 hijrah ( 13 Jun 2011 )

Hari ini, parti pro Islam iaitu Justice and Development Party (AKP) yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan di Turki telah menang pilihanraya peringkat kebangsaan Turki untuk 3 penggal berturut-turut dan sekaligus memecahkan rekod yang dipegang parti pimpinan Adnan Manderes sebelum ini. Namun begitu, sasaran untuk menguasai 2/3 kerusi parlimen tidak tercapai tetapi jumlah penguasaan dan undian meningkat. AKP menang dengan undi popular sebanyak 49.9 peratus berbanding 37 peratus dalam pilihan raya 2002 dan 47 peratus dalam pilihan raya 2007.

Pada pilihanraya kali ini, AKP memenangi 325 kerusi dan ini bermakna AKP gagal mencapai hanya 12 kerusi lagi untuk meletakkanya menang majoriti 2/3. Keperluan menguasai majoriti 2/3 kerusi ini adalah sebagai syarat untuk menukar perlembagaan negara bagi mengubah sistem sekular yang dipelihara oleh tentera sejak zaman Mustafa Kamal Ataturk.

Semoga dengan kemenangan AKP ini, akan meniup semangat pencinta-pencinta Islam di Malaysia untuk lebih memerah pengorbanan, daya usaha untuk melihat keadilan dan kebesaran Islam tertegak di bumi ini. Itulah sejarah, dan itulah Islam. Dua-dua Rejab yang berlainan tahun dan zaman tetapi bertapak pada tempat yang asal, sama sekali mampu merubah manusia yang wujud pada zamannya. Perubahan itu hanya peristiwa dan masa, Islam tetap tidak berubah sampai bila-bila.

Advertisements

Anda Layak Jika Buka Aurat

Posted on Updated on

FIFA’s rules for the 2012 Olympics state: “Players and officials shall not display political, religious, commercial or personal messages or slogans in any language or form on their playing or team kits.”(1).

Iranian Women Footballer

Diskriminasi yang berlaku ke atas pasukan wanita Iran pada acara kelayakan sukan Olimpik bola sepak wanita 2012 telah dinafikan hanya kerana mereka memakai hijab. Yang menafikan hak orang Islam itu adalah FIFA.  Hari ini, dunia Islam telah dicatur oleh barat.

Kemenangan percuma diberikan kepada pasukan wanita Jordan 3-0, kerana berjaya mengikut etika pakaian wanita seperti berseluar pendek, bertshirt dan tidak memakai tudung. Kesanggupan dan pengorbanan tim Jordan menggadaikan syariat, melayakkan mereka masuk ke peringkat ke seterusnya. Bukan itu sahaja, kesan sampingan daripada krisis ini jelas mengelirukan umat Islam apabila golongan syiah yang mewakili Iran sanggup mempertahankan maruah dan aurat, sedangkan Jordan yang jelas ahli sunnah wal jamaah, terang-terangan melanggar hukum syariat. Inilah perancangan barat yang cukup licik melaga-lagakan umat Islam hanya dengan sebiji bola.

Semua propaganda ini melalui FIFA. Malah FIFA juga yang menjadi penyelaras utama dalam sukan bola sepak dunia dan Malaysia. Tanpa FIFA, umat Islam boleh mati sebab tidak boleh bermain bola sepak. Yang pastinya, hanya dengan menggunakan FIFA sahaja, umat Islam berjaya ditundukkan.

(1) http://english.aljazeera.net/sport/football/2011/06/201166124927699569.html

Merindukan Khilafah Islamiyyah..

Posted on

 

Tatkala negara demokrasi mentadbir ekonomi, halatuju dan matlamatnya adalah kaya dan keuntungan. Kapitalis yang menguasai kewangan sesuatu negara juga 2×5. Yang millionaire akan menjadi billionaire dan yang miskin akan jatuh papa. Sosialis hanya menguntungkan kerajaan sahaja, rakyat tiada kuasa dan hak untuk menguasai tanah dan harta. Kezaliman itu direka oleh manusia sendiri untuk menipu manusia yang lain dengan retorik adil dan saksama. Hakikatnya, manusia ditipu oleh sistem yang dicipta oleh mereka sendiri dan akhirnya memberi masalah terhadap mereka. Inilah kegilaan kuasa dan penyelewangan sistem yang berlaku pada masyarakat hari ini. Bukan di Malaysia sahaja, tetapi di seluruh pelusuk dunia. Motifnya mudah, di mana ada manusia, di situ anda boleh mengaut keuntungan.

Selagi manusia tidak mengenali Islam, selagi itu manusia jahil dan tidak boleh melihatpun sezarah kezaliman, penindasan, cengkaman kerosakan yang bermaharajalela di bumi Allah ini. Kebangkitan rakyat Tunisia, Mesir adalah petunjuknya. Masyarakat yang mempunyai sejarah Firaun yang bangkit menentang kezalimannya telah dijatuhkan Allah ditangan Musa a.s. Husni Mubarak mewarisi kesinambungan kezaliman alaf baru, dijatuhkan oleh rakyatnya dengan kuasa Allah. Dunia hari ini sudah muak dengan ideologi manusia, sudah sampainya untuk membina semula khilafah Islamiyyah di muka bumi Allah ini. Lantaran itu, senjata yang paling ampuh menghapuskan kezaliman yang berlaku antara sesama manusia adalah melalui Islam, dan untuk melaksanakan Islam itu, mekanismenya adalah melalui kerajaan. Perkara itulah yang disebut oleh as Syahid Abdul Qodir Audah dalam kitabnya ‘ al Islam Baina Jahli Abnaihi Wa Ajzi Ulamaihi ‘ (Islam di antara kejahilan pendokongnya dan lemah ulamaknya)

Bercampur-aduk

Posted on

Apabila seseorang memasak sesuatu masakan, bahan-bahan masakan telah dicampur adukkan dengan pelbagai resepi, agar masakan tersebut menjadi lazat dan kelihatan berselera. Maka istilah campur aduk dalam masakan boleh menjadikan sesuatu masakan yang kurang enak boleh menjadi enak. Ini berbeza dengan amalan soleh atau sesuatu ibadah yang ingin dilakukan. Istilah campur aduk, tidak sesuai untuk sesuatu ibadah, kerana ibadah itu tidak boleh bercampur aduk antara kewajipan terhadap Allah dan tuntutan hawa nafsu.

Sebagai contoh, memakai tudung itu wajib ke atas perempuan. Ia adalah tuntutan syarak dan tidak diberi pilihan sama ada hendak pakai ataupun tidak. Wajib. Kaedah dan cara pemakaiannya jelas disebut dalam al Quran, mestilah menutupi paras dada serta dilabuhkan. Itu prasyarat utama bertudung dalam Islam. Dan itulah ibadah. Yang dimaksudkan ibadah yang bercampur aduk ini apabila sesuatu ibadah itu diadun mengikut selera hawa nafsu seseorang. Dijadikan tudung itu singkat, jarang atau transparent dan ketat. Hasilnya ibadah terhadap Allah itu menjadi rosak, dan paling merugikan ianya tidak mendapat apa-apa pahala daripada Allah Taala.

Begitulah juga dengan majlis walimah perkahwinan. Islam menuntut umatnya berkahwin dan disyariatkan diadakan kenduri bagi memberitahu tentang ikatan perkahwinan tersebut. Ini juga adalah ibadah. Akan tetapi, ibadah ini boleh tercemar apabila dicampur adukkan dengan rontaan hawa nafsu yang menjadikan majlis perkahwinan itu sebagai tempat untuk berhibur. Dendangan nyanyian, karaoke, lagu-lagu mengasyikkan telah merosakkan ibadah pada Allah. Sekaligus, ibadah itu dikelirukan, dan dimanipulasikan mengikut citarasa hawa nafsu manusia.

Islam Meletakkan Anda Terkehadapan

Posted on

Andai dunia mengiktiraf negara komunis, negara sosialis, demokrasi, kenapa tidak dengan negara Islam ? Apa yang silap dan sesatnya Islam ? Selidiklah, kajilah, di mana salah, silapnya. Yang pasti, tidak akan ketemui kelemahan dan kesesatan Islam. Yang ada hanyalah tohmahan dan tuduhan liar yang tidak mahu melihat Islam diarus perdanakan yang mana akhirnya, ianya mampu merubah kehidupan masyarakat dunia kelak, sekaligus menebas fahaman-fahaman ciptaan manusia selama ini.

Sebagai contoh, pada tahun 1997 berlaku kegawatan ekonomi seluruh dunia. Para ekonomi berpandangan, untuk menaikkan semula pasaran global dalam proses menyuntik semula modal ekonomi, semua perbankan harus menurunkan kadar faedah kepada 0 peratus. Cadangan ini disokong ramai ahli ekonomi dunia, akan tetapi, tatkala cadangan ini menjadi keutamaan atau sebagai jalan pilihan terakhir untuk menyelamatkan ekonomi dunia, tidak terbacakah ayat al Quran yang menyebut tentang haramnya riba.

Kenapa ahli ekonomi barat mencadangkan kadar faedah 0 peratus, kenapa tidak sebut saja hapuskan riba ? Kedua-dua mekanisme itu sama, tetapi lenggok bahasanya yang bertukar. Maksud tetap sama. Cuma, jika disebut hapuskan riba, untungnya pada Islam dan akan terserlahlah kebenaran al Quran, secara langsung memperlihatkan kedangkalan sistem kapitalisme dalam mengurus ekonomi. Inilah kehebatan Islam yang terlindung daripada pengetahuan penganutnya. Adakah anda tidak berbangga menjadi muslim ?

Taubat Golongan Atasan

Posted on

 

Bab taubat sering menjadi topik hangat dalam kuliah dan ceramah agama. Kerana perkara ini sudah menjadi satu asas penting dalam kehidupan seorang muslim yang tidak terlepas daripada dosa. Bila ingat dosa, pasti tidak terlepas pandang tentang taubat. Betapa taubat merupakan ibadah yang mesti dipraktikkan secara rutin bagi insan yang serba berdosa. Hatta, Imam Ghazali mengatakan, andai diri sendiri terdetik merasakan diri sudah cukup baik dan sempurna berbanding dengan orang lain, pun, sudah dikira berdosa. Inikan pula berprasangka buruk pada orang lain.

Taubat luarbiasa ini diketengahkan untuk orang-orang atasan yang berstatus eksklusif yang ingin kembali ke pangkal jalan. Sama ada hendak bertaubat setelah pencen, atau masih memegang jawatan tertentu dan terlintas untuk kembali kepada Allah. Jangan dilayan hati dan nafsu yang bilamana diri hendak bertaubat, maka pelbagai keraguan ditimbulkan oleh setan dengan tujuan hendak menghalang hati kembali kepada Allah. Sebagai contoh, ‘tak payahla taubat, nanti diulangi balik dosa tu, buat penat je’ ataupun ‘terlalu muda untuk bertaubat sekarang ni’ ataupun ‘alang-alang dah buat dosa terlalu banyak, baik teruskan aje’. Dialog ini andai di sebut oleh pemilik hati, ketahuilah, syaitan dan nafsu sudah berakar umbi dalam hati tersebut, dan sekiranya dituturkan pada orang lain dan didengari olehnya, si empunya hati boleh jadi fasik dan berdosa. Itulah kesan dosa dan penangannya yang tidak berkesudahan.

Presiden, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar, Exco, Y.b, Ketua Pengarah, Pengarah, Pengurus dan sebagainya yang terlibat dengan korupsi, rasuah, salah guna kuasa, zalim, mengambil hak orang lain, adalah menjadi kewajipannya untuk memastikan taubat itu diterima Allah, adalah dengan memulangkan semula segala hak-hak yang telah diambil semasa era kezalimannya dahulu. Sekiranya tidak tahu berapa anggaran atau jumlah kos yang wajib dipulangkan hak itu semula, hendaklah diukur dengan ‘ghalbatiz dzon’ iaitu secara kasar mengikut perkiraan yang diketahui hanya si pelaku sahaja. Andaikata tidak mengetahui siapa pemilik yang sepatutnya dipulangkan hak itu, hendaklah ia menginfaqkan wang, harta atau tanah itu untuk maslahat umum dengan meniatkan segala infaq itu kepada pemiliknya asal yang telah dizalimi. Jika tiada wang atau harta untuk dipulangkan kepada pemilik asalnya, ataupun jatuh fakir, hendaklah berjumpa kepada pemilik hak asal dan mohon dihalalkan atas segala kezaliman yang dilakukan dahulu. Sekiranya, semua perkara di atas tidak mampu dilakukan, hendaklah memperbanyakkan istighfar dan keampunan daripada Allah Taala atas segala kezalimannya yang lampau. Ini berkaitan dengan kezaliman yang melibatkan harta.

Kezaliman yang melibatkan hak-hak maruah peribadi pula, ada kaedahnya. Sekiranya Presiden, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar, Exco, Y.b, Ketua Pengarah, Pengurus dan sebagainya yang terlibat dengan menuduh orang berzina, atau dirinya berzina, penyaksian palsu, mengeji, menghina, mengadu-domba, mengintip, menjaja cerita dan segala apa yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, hendaklah berjumpa terus dengan orang yang dizalimi tersebut, seterusnya memohon keampunan dan keredhaannya, sebelum orang yang dizalimi ini akan menuntut haknya sebenar di akhirat kelak.

*  Isi dalam artikel ini diambil daripada link majalah al Waie Islami, nukilan Dr. Hussin Shahatah, tetapi huraian dan olahannya adalah daripada penulis sendiri.

Menumpang Hidup

Posted on

 

Ini rumah banglo saya yang berharga sekian, sekian, sekian. Bayar cash. Dan rumah ini ada 6 kamar tidur dan 6 bilik mandi dan bla, bla, bla. Apapun rumah ini hak saya yang mutlak hasil daripada kerja keras selama ini.

Tiada dalam dunia ini yang dimiliki dengan mutlak. Tidakkan tanah, ladang, rumah dan kereta, tangan, telinga, kakipun yang melekat pada batang tubuh pun bukan hak mutlak peribadi. Semua itu adalah pinjaman. Tiada siapa yang boleh jamin harta, barang-barang, apa-apa juga perkakas hak milik sendiri yang tidak boleh diusik, disentuh oleh orang lain. Mungkin atas kertas atau ‘agreement’ ianya hak milik peribadi, tetapi hakikatnya semua itu adalah pinjaman. Dan manusia itu hanya menumpang. Menumpang hidup di bumi Allah tanpa ada bayaran, atau diribakan hingga membebankan dan ‘mentekedarah’ seperti bank-bank yang ada sekarang. Anda hidup, tetapi hidup anda di dunia itu tidak dicaj. Anda bernafas, dengan bernafas anda boleh bekerja dan buat pelbagai perbuatan, tetapi semua itu ‘free of charge’. Tidak perlu dibayar walau satu sen pun.

Bukan itu yang Allah hendak. Bukan harta, dunia, itu adalah matlamat Allah ciptakan manusia, tetapi sifat penghambaan, ketundukan pada Allah itulah tujuannya. Indah sebenarnya hidup menumpang ini. Dengan menumpang hidup sementara di dunia ini, manusia akan sedar siapa dirinya dan halatujunya pada kehidupan yang kekal abadi. Tiada lagi menumpang selepas itu.