Day: 10/06/2011

Taubat Golongan Atasan

Posted on

 

Bab taubat sering menjadi topik hangat dalam kuliah dan ceramah agama. Kerana perkara ini sudah menjadi satu asas penting dalam kehidupan seorang muslim yang tidak terlepas daripada dosa. Bila ingat dosa, pasti tidak terlepas pandang tentang taubat. Betapa taubat merupakan ibadah yang mesti dipraktikkan secara rutin bagi insan yang serba berdosa. Hatta, Imam Ghazali mengatakan, andai diri sendiri terdetik merasakan diri sudah cukup baik dan sempurna berbanding dengan orang lain, pun, sudah dikira berdosa. Inikan pula berprasangka buruk pada orang lain.

Taubat luarbiasa ini diketengahkan untuk orang-orang atasan yang berstatus eksklusif yang ingin kembali ke pangkal jalan. Sama ada hendak bertaubat setelah pencen, atau masih memegang jawatan tertentu dan terlintas untuk kembali kepada Allah. Jangan dilayan hati dan nafsu yang bilamana diri hendak bertaubat, maka pelbagai keraguan ditimbulkan oleh setan dengan tujuan hendak menghalang hati kembali kepada Allah. Sebagai contoh, ‘tak payahla taubat, nanti diulangi balik dosa tu, buat penat je’ ataupun ‘terlalu muda untuk bertaubat sekarang ni’ ataupun ‘alang-alang dah buat dosa terlalu banyak, baik teruskan aje’. Dialog ini andai di sebut oleh pemilik hati, ketahuilah, syaitan dan nafsu sudah berakar umbi dalam hati tersebut, dan sekiranya dituturkan pada orang lain dan didengari olehnya, si empunya hati boleh jadi fasik dan berdosa. Itulah kesan dosa dan penangannya yang tidak berkesudahan.

Presiden, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar, Exco, Y.b, Ketua Pengarah, Pengarah, Pengurus dan sebagainya yang terlibat dengan korupsi, rasuah, salah guna kuasa, zalim, mengambil hak orang lain, adalah menjadi kewajipannya untuk memastikan taubat itu diterima Allah, adalah dengan memulangkan semula segala hak-hak yang telah diambil semasa era kezalimannya dahulu. Sekiranya tidak tahu berapa anggaran atau jumlah kos yang wajib dipulangkan hak itu semula, hendaklah diukur dengan ‘ghalbatiz dzon’ iaitu secara kasar mengikut perkiraan yang diketahui hanya si pelaku sahaja. Andaikata tidak mengetahui siapa pemilik yang sepatutnya dipulangkan hak itu, hendaklah ia menginfaqkan wang, harta atau tanah itu untuk maslahat umum dengan meniatkan segala infaq itu kepada pemiliknya asal yang telah dizalimi. Jika tiada wang atau harta untuk dipulangkan kepada pemilik asalnya, ataupun jatuh fakir, hendaklah berjumpa kepada pemilik hak asal dan mohon dihalalkan atas segala kezaliman yang dilakukan dahulu. Sekiranya, semua perkara di atas tidak mampu dilakukan, hendaklah memperbanyakkan istighfar dan keampunan daripada Allah Taala atas segala kezalimannya yang lampau. Ini berkaitan dengan kezaliman yang melibatkan harta.

Kezaliman yang melibatkan hak-hak maruah peribadi pula, ada kaedahnya. Sekiranya Presiden, Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar, Exco, Y.b, Ketua Pengarah, Pengurus dan sebagainya yang terlibat dengan menuduh orang berzina, atau dirinya berzina, penyaksian palsu, mengeji, menghina, mengadu-domba, mengintip, menjaja cerita dan segala apa yang boleh menjatuhkan maruah seseorang, hendaklah berjumpa terus dengan orang yang dizalimi tersebut, seterusnya memohon keampunan dan keredhaannya, sebelum orang yang dizalimi ini akan menuntut haknya sebenar di akhirat kelak.

*  Isi dalam artikel ini diambil daripada link majalah al Waie Islami, nukilan Dr. Hussin Shahatah, tetapi huraian dan olahannya adalah daripada penulis sendiri.

Advertisements

Menumpang Hidup

Posted on

 

Ini rumah banglo saya yang berharga sekian, sekian, sekian. Bayar cash. Dan rumah ini ada 6 kamar tidur dan 6 bilik mandi dan bla, bla, bla. Apapun rumah ini hak saya yang mutlak hasil daripada kerja keras selama ini.

Tiada dalam dunia ini yang dimiliki dengan mutlak. Tidakkan tanah, ladang, rumah dan kereta, tangan, telinga, kakipun yang melekat pada batang tubuh pun bukan hak mutlak peribadi. Semua itu adalah pinjaman. Tiada siapa yang boleh jamin harta, barang-barang, apa-apa juga perkakas hak milik sendiri yang tidak boleh diusik, disentuh oleh orang lain. Mungkin atas kertas atau ‘agreement’ ianya hak milik peribadi, tetapi hakikatnya semua itu adalah pinjaman. Dan manusia itu hanya menumpang. Menumpang hidup di bumi Allah tanpa ada bayaran, atau diribakan hingga membebankan dan ‘mentekedarah’ seperti bank-bank yang ada sekarang. Anda hidup, tetapi hidup anda di dunia itu tidak dicaj. Anda bernafas, dengan bernafas anda boleh bekerja dan buat pelbagai perbuatan, tetapi semua itu ‘free of charge’. Tidak perlu dibayar walau satu sen pun.

Bukan itu yang Allah hendak. Bukan harta, dunia, itu adalah matlamat Allah ciptakan manusia, tetapi sifat penghambaan, ketundukan pada Allah itulah tujuannya. Indah sebenarnya hidup menumpang ini. Dengan menumpang hidup sementara di dunia ini, manusia akan sedar siapa dirinya dan halatujunya pada kehidupan yang kekal abadi. Tiada lagi menumpang selepas itu.

Kecil Tapi Bermakna

Posted on Updated on

Benar kata Allah bahawa manusia itu inginkan sesuatu itu cepat. Dapat hasilnya pantas. Bersegera. Ataupun menganggap melakukan sesuatu yang kecil itu tiada apa dan nilai di sisi Allah, pahalanya dikit. Inginkan yang besar-besar, sekali dilakukan, pahala akan berganda dan berbukit. Yang kecil diremehkan, yang besar diutamakan. Dalam hal ini, perkara yang remeh itulah Allah nilai, adapun melakukan perkara yang besar dan ‘grand’ itu belum tentu diberi pahala. Siapala pandang seorang penoreh getah berbanding tauke kedai tayar Continental, siapala pandang nelayan Sungai Nerang berbanding Ceo kilang sardin Cap Ayam. Kerja dari sumber yang sama, tetapi status dan darjat berlainan. Sebagai contoh, apabila seseorang yang pergi ke masjid melabuhkan empat kerat tulangnya membentang sejadah, mencuci dan membuang taik cicak, mencuci tandas, tidak dipandang oleh manusia, berbanding dengan orang yang bersedekah wang, menjamu makanan, membaca khutbah, memberi kuliah. Tugas yang dilakukan itu meletakkan mereka di tempat yang disanjung dan diperhati masyarakat, akan tetapi, apakah daripada zahirnya tugas itu kelihatan besar dan berat untuk dilakukan oleh kebanyakan manusia itu benar-benar mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T ?

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh diri sendiri. Percayalah, setiap kebaikan yang dilakukan oleh manusia, sama ada tersembunyi atau zahir, Allah menilainya mengikut niat yang ada pada diri manusia. Soroklah dan berpandang-pandanglah semasa melakukan sesuatu amalan, ianya tetap tidak lari daripada pengetahuan Allah S.W.T. Sebagai permulaan, bermulalah dengan selangkah, mengorak sesuatu amalan itu dengan sekecil-kecil amalan adapun disisi Allah terlalu besar. Dan yang lebih sedih daripada itu, seandainya wujud dalam hati yang berbisik bahawa maksiat yang dilakukan itu adalah terlalu kecil baginya, berbekalkan amalan yang besar, banyak yang dilakukan sebelum ini, sudah tentu menenggelamkan dosa yang tak seberapa, tetapi tidak terfikirkah, berhakkah seseorang itu  menentukan sesuatu maksiat itu kecil atau besar ? Andai ada lintasan hati wujud seperti itu, bertaubatlah.

Masih Belum Terlambat

Posted on

Masih belum terlambat untuk mereka yang berdosa kembali ke pangkal jalan, dan masih belum terlambat lagi bagi mereka yang ingin mencuba untuk terjun dan bergelumang menjadi hamba yang taat pada Allah. Masih belum terlambat, kuatkan azam bulatkan nekad. Selama ini, cuba dihitung tahun, umur, masa, hari, kesemuanya dicurahbaktikan kepada dunia, memenuhi tuntutan hawa nafsu, memburu kedudukan yang selesa untuk hidup di dunia, sedangkan perjalanan seorang hamba itu bukan terhenti di dunia, kerana di sana, wujud dunia lain yang akan mereka kenali selepas mati. Ini bermakna, kehidupan manusia tidak boleh terhenti, akan tetapi ianya akan terus berjalan hinggalah saat noktah pengadilan dimuktamadkan oleh Allah.

Berdosa. Itulah manusia. Yang mengampunkan dosa adalah Allah, bukan manusia. Andai kesalahan itu ada proksi dengan manusia yang lain, keutamaannya adalah kemaafan daripada pihaknya dulu. Hakikatnya, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Maha Suci Allah, Tuhan Sekelian Alam, Yang Mengetahui apa yang manusia tidak ketahui. Realitinya, manusia adalah kerdil, naif, dhoif dan hina dina. Maha Besar Allah yang telah Menciptakanku, tanpa rahmat, hidayah, barokah dan apa yang diaturnya untuk ku selama ini, tidaklah hambaMu ini mengenaliMu, sembah sujud rafak syukur padaMu Ya Robbul Jalil..

Tribute Untuk Imam Ghazali..

Posted on Updated on

Sebagai permulaannya, mungkin ada sedikit pertanyaan tentang blog ini. Katakan tidak pada dunya ? Apa maksud disebalik ungkapan ini ? Apakah penulis ini tidak menerima hakikat yang dia pun sedang hidup di dunia, kemudian menolak dunia ?  Ungkapan ini tiada maksud yang terselindung, dan tidak perlu disyarahkan dengan lebih panjang. Semakin seseorang itu merasakan usianya terlalu tua untuk hidup di dunia ini, sudah tentu ia mengenali dunia dan seisinya.

Blog ini juga sebagai satu tribute buat “Hujjatul Islam, as Syeikh Abu Hamid al Ghazali”, pelopor dan pencetus kepada Yes to Akhirat dan No to Dunya. Bacalah kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan Minhajul Abidin seakan-akan menarik rasa gembira, ketawa, ceria bertukar menjadi takut, sedih dengan linangan air mata betapa dunia ini bukanlah tempat untuk saat-saat seperti itu. Hanya hati yang mati, jiwa yang kosong, akal yang ditipu itulah dapat merasai semua itu, sebaliknya hati yang hidup, jiwa yang dilimpahi dengan nur iman dan taqwa, pengakal ulul albab menikmati dunia itu hanya sekadar mimpi indah dalam tiduran yang sedetik cuma, tanpa ada apa-apa erti.