Month: June 2011

Kecil Tapi Bermakna

Posted on Updated on

Benar kata Allah bahawa manusia itu inginkan sesuatu itu cepat. Dapat hasilnya pantas. Bersegera. Ataupun menganggap melakukan sesuatu yang kecil itu tiada apa dan nilai di sisi Allah, pahalanya dikit. Inginkan yang besar-besar, sekali dilakukan, pahala akan berganda dan berbukit. Yang kecil diremehkan, yang besar diutamakan. Dalam hal ini, perkara yang remeh itulah Allah nilai, adapun melakukan perkara yang besar dan ‘grand’ itu belum tentu diberi pahala. Siapala pandang seorang penoreh getah berbanding tauke kedai tayar Continental, siapala pandang nelayan Sungai Nerang berbanding Ceo kilang sardin Cap Ayam. Kerja dari sumber yang sama, tetapi status dan darjat berlainan. Sebagai contoh, apabila seseorang yang pergi ke masjid melabuhkan empat kerat tulangnya membentang sejadah, mencuci dan membuang taik cicak, mencuci tandas, tidak dipandang oleh manusia, berbanding dengan orang yang bersedekah wang, menjamu makanan, membaca khutbah, memberi kuliah. Tugas yang dilakukan itu meletakkan mereka di tempat yang disanjung dan diperhati masyarakat, akan tetapi, apakah daripada zahirnya tugas itu kelihatan besar dan berat untuk dilakukan oleh kebanyakan manusia itu benar-benar mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T ?

Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh diri sendiri. Percayalah, setiap kebaikan yang dilakukan oleh manusia, sama ada tersembunyi atau zahir, Allah menilainya mengikut niat yang ada pada diri manusia. Soroklah dan berpandang-pandanglah semasa melakukan sesuatu amalan, ianya tetap tidak lari daripada pengetahuan Allah S.W.T. Sebagai permulaan, bermulalah dengan selangkah, mengorak sesuatu amalan itu dengan sekecil-kecil amalan adapun disisi Allah terlalu besar. Dan yang lebih sedih daripada itu, seandainya wujud dalam hati yang berbisik bahawa maksiat yang dilakukan itu adalah terlalu kecil baginya, berbekalkan amalan yang besar, banyak yang dilakukan sebelum ini, sudah tentu menenggelamkan dosa yang tak seberapa, tetapi tidak terfikirkah, berhakkah seseorang itu  menentukan sesuatu maksiat itu kecil atau besar ? Andai ada lintasan hati wujud seperti itu, bertaubatlah.

Masih Belum Terlambat

Posted on

Masih belum terlambat untuk mereka yang berdosa kembali ke pangkal jalan, dan masih belum terlambat lagi bagi mereka yang ingin mencuba untuk terjun dan bergelumang menjadi hamba yang taat pada Allah. Masih belum terlambat, kuatkan azam bulatkan nekad. Selama ini, cuba dihitung tahun, umur, masa, hari, kesemuanya dicurahbaktikan kepada dunia, memenuhi tuntutan hawa nafsu, memburu kedudukan yang selesa untuk hidup di dunia, sedangkan perjalanan seorang hamba itu bukan terhenti di dunia, kerana di sana, wujud dunia lain yang akan mereka kenali selepas mati. Ini bermakna, kehidupan manusia tidak boleh terhenti, akan tetapi ianya akan terus berjalan hinggalah saat noktah pengadilan dimuktamadkan oleh Allah.

Berdosa. Itulah manusia. Yang mengampunkan dosa adalah Allah, bukan manusia. Andai kesalahan itu ada proksi dengan manusia yang lain, keutamaannya adalah kemaafan daripada pihaknya dulu. Hakikatnya, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Maha Suci Allah, Tuhan Sekelian Alam, Yang Mengetahui apa yang manusia tidak ketahui. Realitinya, manusia adalah kerdil, naif, dhoif dan hina dina. Maha Besar Allah yang telah Menciptakanku, tanpa rahmat, hidayah, barokah dan apa yang diaturnya untuk ku selama ini, tidaklah hambaMu ini mengenaliMu, sembah sujud rafak syukur padaMu Ya Robbul Jalil..

Tribute Untuk Imam Ghazali..

Posted on Updated on

Sebagai permulaannya, mungkin ada sedikit pertanyaan tentang blog ini. Katakan tidak pada dunya ? Apa maksud disebalik ungkapan ini ? Apakah penulis ini tidak menerima hakikat yang dia pun sedang hidup di dunia, kemudian menolak dunia ?  Ungkapan ini tiada maksud yang terselindung, dan tidak perlu disyarahkan dengan lebih panjang. Semakin seseorang itu merasakan usianya terlalu tua untuk hidup di dunia ini, sudah tentu ia mengenali dunia dan seisinya.

Blog ini juga sebagai satu tribute buat “Hujjatul Islam, as Syeikh Abu Hamid al Ghazali”, pelopor dan pencetus kepada Yes to Akhirat dan No to Dunya. Bacalah kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan Minhajul Abidin seakan-akan menarik rasa gembira, ketawa, ceria bertukar menjadi takut, sedih dengan linangan air mata betapa dunia ini bukanlah tempat untuk saat-saat seperti itu. Hanya hati yang mati, jiwa yang kosong, akal yang ditipu itulah dapat merasai semua itu, sebaliknya hati yang hidup, jiwa yang dilimpahi dengan nur iman dan taqwa, pengakal ulul albab menikmati dunia itu hanya sekadar mimpi indah dalam tiduran yang sedetik cuma, tanpa ada apa-apa erti.

Yes To Akhirat

Posted on Updated on

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah atas segala kurniaan dan limpahanNya yang tidak terkira. Masih lagi mampu untuk ku bernafas, bangkit untuk merasai nikmat iman dan Islam. Survival sebagai hamba untuk melunaskan tugasan pengabdian pada Allah, moga keberkatan, kerahmatan sentiasa mengiringi perjalanan ini. Amiin..

Bukan sesuatu yang mudah untuk berkarya, merencam minda, membuah fikrah kerana semua itu juga hasil daripada rahmat Allah Taala. Platform ini memerlukan keazaman yang kuat, semangat yang konsisten tanpa ada rasa putus asa dan lemah semangat demi memartabatkan Islam tercinta dengan penuh ilmiah, berfakta serta selari dengan logik dan akal manusia. Jadikan ini sebagai amalan atau sumbangan yang mampu memberatkan timbangan neraca di akhirat kelak, hanya pada Mu ya Allah, ku bermula langkah ini….