Month: August 2011

Penghujung Ramadhan

Posted on Updated on

Di penghujung terawih terasa sayu. Ramadhan sudah tiba ke ufuknya. Walaupun hanya 8 rakaat plus 3 witir, tetapi ia cukup bermakna buat si hamba yang mendambakan keampunan dan rahmatnya. Cukup bererti bagi hamba yang terlalu banyak dosa dan hina. Awalnya rahmat, ditengahnya keampunan dan penghujungnya adalah bebas daripada api neraka. Tiada bulan yang sehebat Ramadhan. Dan tiada Tuhan melainkan Allah. Itulah takrifan secara relatifnya.

Suasana santai mengecapi terawih tidak akan dirasai pada bulan yang lain. Keasyikan mendengar kalam-kalam Allah yang dibaca huffaz, mampu menyentuh hati yang leka bingkas sedar, air mata yang sukar untuk menangis, tiba-tiba tertumpah membasahi pipi. Kerdilnya diri ini apabila berada di hadapan ayat-ayat Allah, bila disebut golongan soleh, jauh sekali itu adalah diriku, tatkala dibaca golongan yang rugi, seumpama jari-jari ini menuding ke arahku.

Tiada terawih jika tiada Ramadhan, dan terawih wujud disebabkan Ramadhan. Di dalam penitian akhir menuju Ramadhan, akan bersua pula Syawal. Andai wujud sekelumit sifat taabbudiyyah pada diri, sudah tentu Syawal adalah pewaris mutlak selepas ketiadaan Ramadhan. Bermakna, sifat kehambaan pada Allah tidak boleh dilakukan secara ‘moody’ tetapi sentiasa berterusan, berstamina dan bermujahadah. Ramadhan hanya pencetus ke arah kebangkitan itu, Syawal itu penilainya. Beruntunglah bagi mereka yang redha, pasrah dan tunduk serta rela menjadi hamba pada Allah sepanjang Ramadhan ini. Ramadhan pada takrifan asalnya adalah batu panas, tetapi kepanasan itu umpama hawa sejuk bagi hamba yang taat padaMu ya Allah.

Advertisements

Bila Azan Berkumandang

Posted on

                Bila azan berkumandang dicorong speaker karat surau, semua orang yang mengaku Islam dengar. Ada yang buat-buat tak dengar macam kebingitan siren ‘paper lama’. Sama ada wujud atau tak azan tu, ia takde bawa apa-apa makna. Sekali-sekali bilal tidak  mengazani surau, rasa aman dan tenang  menyerap masuk dalam diri yang penuh dengan suara syahwat dan nafsu. Sebab itu, apabila dada kosong dengan iman, segala medium kebaikan yang menyentuh hati atau jiwa, cepat-cepat terpadam bagai abu kertas yang baru mula membakar.  Orang menyedari kepentingan azan bila tiba bulan Ramadhan. Berkepentingan sebab perut dan tekak mereka yang tak sabar untuk mencekik juadah pelbagai yang berjaya membuatkan air liur mereka meleleh.

Muazzin yang menarik urat tekaknya mengajak manusia agar bersolat tidak rugipun dalam kamus pahala. Sekalipun beliau solat hanya dengan imam, ganjaran jemaah dan pahalanya cukup besar di sisi Allah. Tugas ni kerana Allah. Tiada gaji, elaun cola atau ot, cuma yang ada hanya pahala. Zaman sekarang orang menilai pahala itu tidak berharga. Nilai wang itu lebih tinggi daripada pahala. Kenapa aku cakap macam tu ? Senang je, andaikata orang Melayu pentingkan pahala, sudah tentu surau ini dibanjiri oleh jemaah. Yang ada, budak tak cukup baligh bergusti, berhambat. Apa kes. Lihatlah di Jusco, Giant, Tesco, Angsana, Kota Raya, malas lagi aku nak sebut. Walaupun tempat tu menghabiskan duit mereka dan ada yang sanggup berhutang, ianya masih menjadi tempat sembahan bagi manusia. Pergi surau, ada kena bayar, berhutang ? Bahkan, boleh tambah rezeki sebab kesyukuran atas nikmat yang diperolehi.

Seorang muazzin suara kena jaga. Jaga sekadar boleh bersuara. Lari pitching, tune, tu semua dunia. Yang penting, mukhlis. Itu syarat dalam semua ibadah pada Allah. Nanti sakit tekak tak boleh nak bertugas dan terpaksa ganti bilal lain. Tak semua boleh azan macam aku, ujar Pak Said, bilal Taman Sejati. Orang cakap aku azan macam Syeikh al Ghamidi. Sebodoh aku, Syeikh al Ghamidi tu imam, sejak bila turun pangkat jadi bilal. Kalau nak puji aku pun, agak-agak la. Komen Pak Said tak puas hati pada sahabatnya sebab puji tak ikhlas. Pak Said begitu komited pada tugasnya sebagai bilal. Tapi bukan bilal sepenuh masa, beliau hanya bertugas pada waktu Subuh sahaja. Walaupun sudah tua, masih mampu lagi untuk bangun pagi lebih awal, buka pintu surau, pasang lampu, bentang sejadah dan zikir dialunkan jika masih ada waktu sebelum azan.

Pernah lihat penyanyi jalanan yang menyanyi secara terbuka dengan harapan ada orang simpati dan hulurkan sedikit wang sebagai sumbangan. Konsepnya, ingin tarik perhatian orang ramai agar dengar, lihat, simpati dan hayati nyanyiannya seterusnya apa lagi, faham-faham sendiri. Begitu juga azan. Namun konsepnya berlainan. Merayu dan meminta orang yang mendengar azan tersebut, agar berhenti seketika daripada tugas, bangun daripada tidur, sedar daripada lalai mengingati dunia, untuk sama-sama menyembah Allah. Indahnya azan itu, dan pastinya ia mampu menghilangkan psiko anda.

Al Fatihah Buat Tukya

Posted on

 

Pada tanggal 11 Ogos 2011, terdengar berita kematian novelis terkenal Malaysia Tuan Haji Azizi bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tukya. Pemilik nama ini tidak mengenaliku, tetapi ku mengenali dirinya dan sering membaca tulisan pada blognya. Baru ku sedar, mengapa sudah lama beliau tidak meng’update’ blognya. Rupa-rupanya dia terlantar di hospital dalam jangka waktu yang begitu lama.

Akhir sekali, sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini, ku ada emelkan sesuatu kepada Tuan Haji Azizi bin Abdullah, dan kemudian dia terus forwardkan emel tu terus kepada Dinsman. Tuan Dinsman pun bagus juga. Ku ingin menimba ilmu pada kedua-dua penulis ini kerana setiap kalimah yang diungkapkan itu bersifat kritis dan boleh membuat anda berfikir untuk beberapa kali.

Kepergiannya bertemu Ilahi bagi diriku jelas terasa walaupun tidak pernah bersua muka, berbicara, bersembang, jauh sekali bersalam. Bagaimana boleh ini terjadi ? Sudah tentu jawapannya adalah hasil tulisan tangan yang membawa pengertian pada kehidupan seorang insan terhadap Allah Taala. Itulah bekalan ampuh yang bukan sahaja dikira sebagai amalan soleh, tetapi kebaikannya itu akan terus berpanjangan walaupun si empunya nama sudah tiada di muka bumi ini.