Month: September 2011

Siri 2 : Aku Bukan LCW

Posted on Updated on

Berbadminton perlu kepada kepandaian dalam mengatur bola mengikut kesesuaian keadaan dan kelemahan pihak lawan. Walaupun anda memiliki smash yang padu, backhand yang mantap, pukulan forehand yang tinggi, namun jika lemah pada hantaran bola, ini akan memberikan kelebihan pada pihak lawan untuk mengutip mata demi mata. Memang tidak dinafikan bahawa kekuatan perlu, tetapi kekuatan berfikir, helah, tipu daya adalah lebih didahagakan ketika anda menghadapi lawan.

Gabra, cemas, kelam kabut adalah tekanan ketika anda berada pada perlawanan yang sebenar. Perkara ini yang mesti ditangani dahulu berbanding perkara lain. Ini kerana, bila anda berada dalam kondisi gabra, kalut, cemas yang pada asalnya smash anda tiada bayangan, akan bertukar jadi berbayang-bayang, backhand yang sebelum itu seumpama backhand Taufik Hidayat telah menjadi Tiada Hidayat, dan yang lebih parah lagi bila servis anda sentiasa short, long atau tersangkut di net. Itu semua adalah tanda-tanda kiamat bagi pemain badminton untuk cepat bungkus. Untuk menangani masalah ini bukannya dengan minum 100plus, mahupun disuntik steroid. Semuanya bergantung pada diri anda sendiri.

Tidak dinafikan bahawa racket memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan permainan anda agar lebih efisyen. Skills dan alat yang menterjemahkan skills (racket) mesti seimbang untuk menghasilkan gaya permainan yang cukup digeruni. Jika anda sehebat Lee Chong Wei tetapi menggunakan racket jenama cap ayam, secara langsung permainan anda pada mulanya macam Lin Dan, akhirnya jadi Tak Dan. Jangan pula jenama racket anda tip-top, gaya pakaian seiras bintang sukan, tetapi skills cap ayam, ini akan membuatkan telinga anda berdesing lantaran dijadikan bahan sindiran oleh pihak lawan. Belajar merendah diri sepertimana ada ‘post’ yang telah ku submit dalam blog sebelum ini.

Jangan buat kesilapan. Itulah perkara asas untuk mengutip mata. Sistem pemarkahan sekarang berlainan dengan sistem dahulu. Andai dahulu 15. Sekarang 21 telah game over. Cuma kelebihan sistem sekarang adalah betul-betul menguji kehebatan anda. Setiap mata itu dinilai daripada diri pemain. Jika anda hebat, mata mudah menjadi milik anda. Jika anda menikus, sudah tentu pihak lawan mudah meratah dan membelasah tanpa belas kasihan. Apapun ingat, jangan buat kesilapan mudah. Kutip seberapa banyak mata dan tiada enjoy dalam permainan. Ini kerana setiap mata yang anda kutip akan menaikkan semangat, dan setiap mata yang hilang, membuatkan kehidupan anda terus dibelenggu misteri.

Akan menyusul Siri 3.

Advertisements

Aku Bukan Lee Chong Wei : Siri 1

Posted on Updated on

Malam ni ada match Badminton di Johor Jaya. Ramai tim-tim power turun gelanggang untuk menunjukkan kejaguhan masing-masing. Ku pun tidak terkecuali untuk keluar dari belenggu cap ayam. Ku tidaklah sehebat Chong Wei, jauh sekali Lin Dan. Setaraf Pete Gade pun jadila. Takdela, saja melawak. Namun, berbekalkan semangat, skills dan keyakinan, datanglah apa jua lawan takkan ku undur walau selangkah. Smash mesti berdesup, backhand mesti power macam Taufik Hidayat dan paling penting adalah stamina, mesti berkuasa macam Power Root. Jika takde apa yang disebutkan tadi, lebih baik jadi Umpire je.

Berbadminton mesti ada persefahaman ketika beregu. Andai pasangan sering buat kesilapan, jangan diherdik, ditengking atau diprotes. Biarkan aje. Biarkan dia belajar dalam suasana kebahagiaan dan keceriaan walaupun jiwa dan perasaan anda dirundung halilintar 7 petala bumi dan langit. Di situlah ada silibus belajar bersabar mengawal perasaan. Berasa tenang dalam keadaan yang hingar bingar. Dan yang paling penting adalah, dengan menghargai pasangan anda walaupun dia sering melakukan kesalahan mudah.

Jika pasangan anda suka bermain di net, maklumkan dia bahawa bermain di net berisiko tinggi. Kena lakukan pukulan forehand ke belakang, tetapi jangan half court, nanti ada cop mohor Yonex@Protech@RSL@RCL di dahi anda. Andai dia gemar pukulan forehand ke belakang, tetapi selalu out, bimbinglah dia supaya smash bila bola tinggi atau adjust semula power tangan dia tu dengan mengajarnya cara placing, itu lebih selamat tetapi jangan selalu ditunjukkan, nanti pihak lawan dapat baca.

Jika pasangan anda suka smash, tetapi selalu tersangkut di net. Tunjukkan dia cara smash dengan teknik yang betul, iaitu dengan menggunakan pergerakan di pergelangan tangan sahaja, bukannya seperti menghayun atau melibas semak samun di belakang rumah. Dengan tunjuk ajar yang dipamerkan itu, mudah-mudahan dengan minat dan rasa ingin menjadi seperti Chong Wei, pasangan anda akan cepat belajar. Tetapi kalau takde minat, lebih baik anda cari partner lain atau main single je.

Semasa berbadminton, kejujuran perlu ada. Sebabnya apabila bermain secara unformal, umpire, penjaga garisan tidak disediakan. Sebab ini bukannya tournament All England ke All Togo ke All Bucina Faso ke. Jika pihak lawan smash dan masuk, maka kita tak boleh katakan out, kena jujur dan amanah. Tetapi, andai dia smash dan sememangnya out, tetapi kita cakap in, itu ‘bejuruh’ namanya atau boleh juga dikatakan sedekah ‘point’ kepada pihak lawan.

Menyusul nanti Siri 2.

Sorry, I’m Extremely Busy

Posted on Updated on

Kesibukan membuat seseorang itu lupa dan terlepas pandang banyak perkara. Bila seseorang datang menuntut janji atau mengingatkan sesuatu yang dilupakan, jawapannya mudah sekali, sibuk. Sibuk macammana yang dimaksudkan itu ? Adakah sesibuk Rasulullah s.a.w ? Atau sibuk mengejar habuan duniawi yang tak sudah-sudah ? Atau sibuk dengan masalah yang terus menerus menimpa hari demi hari. Rasulullah s.a.w tidak pernah menolak, memungkiri janji atau melupakan sesuatu perkara seterusnya memberikan jawapan sibuk. Setiap permintaan sahabat dipenuhkannya, setiap janji tidak dilupai dan ditunaikannya. Cuma umatnya akhir zaman ini yang terlalu sibuk mengalahkan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w sibuk dengan ibadah kepada Allah.

Diceritakan, ketika Rasulullah s.a.w bermalam di rumah Aisyah r.a, dan malam itu adalah gilirannya bersama Rasulullah s.a.w, Rasulullah baring disisi Aisyah akan tetapi matanya tidak boleh lelap. Aisyah bertanyakan kenapa. Rasulullah ingin memberitahu satu perkara, namun khuatir Aisyah akan kecil hati. Setelah didesak oleh Aisyah, Rasulullah s.a.w memberitahu ingin beribadah kepada Allah di malam itu, dan Rasulullah takut untuk memberitahu hasratnya itu takut-takut Aisyah kecewa kerana Rasulullah s.a.w mengabaikannya apabila tiba gilirannya bermalam bersama Aisyah. Aisyah sedikit pun tidak kecil hati, malah menyokong kehendak suaminya itu dan turut serta bersama Rasulullah s.a.w beribadah.

Sibuknya Rasulullah s.a.w beribadah sehingga tidak mahu terlepas merasai kemanisan itu. Kita pula terlalu sibuk mengejar dunia sehingga tiada masa untuk ke surau, solat jemaah,  solat sunat, zikir, baca Quran, dengar kuliah atau berdakwah. Bila orang tanya, awak busy ke sekarang ? Kita jawab, busy giler. Busy giler merujuk kepada busy dalam hal duniawi. Terlalu janggal rasanya bila orang bertanyakan sama ada kita busy atau tidak, kita jawab busy beribadah. Andai terasa ianya janggal, no komen, faham-faham sendiri la.

Boleh Laksanakan Hudud Tapi Dengan Syarat ?

Posted on Updated on

Mutakhir ini isu hudud kerap dibahaskan. Ada yang berkeras ingin melaksanakan hudud, ada yang menentang dan ada pula yang mengambil pendirian atas pagar. Pendirian tentang isu ini bergantung kepada tahap kefahaman masing-masing tentang hudud. Sudah tentu bagi mereka yang bidang dan lapangan tentang hudud, semestinya berkehendak agar hudud dilaksanakan tanpa ada prejudis. Ini hukum Allah, beri kebebasan kepada Kelantan untuk melaksanakannya. Lagipun Kelantan telah mengiktiraf negerinya adalah Serambi Mekah, bersedaya upaya menitikberatkan ruh syariah dalam pentadbiran, ekonomi dan sosial walaupun ada usaha memperlekeh dan menyekatnya.

Syarat apa lagi yang boleh membenarkan Kelantan melaksanakan hudud ini ? Jika syaratnya Menteri Besar mesti kelulusan agama, syarat itu sudah lebih dari cukup. Bukan sahaja Menteri Besarnya ‘tok guru’ tetapi exconya juga adalah sebatian antara ulama’ dan umara’. Jika syaratnya juga mesti masjid-masjid dan surau-surau bersepah di setiap daerah. Syarat itu pun dah dikira ‘settle’. Bukan itu sahaja, jika negeri-negeri lain pertumbuhan pusat judi, kelab malam dan hiburan semakin hari semakin berputik, negeri Kelantan pula dipenuhi dan ditumbuhi dengan pondok-pondok agama yang menjadi tradisi dan nadi utama rakyat Kelantan. Jika syaratnya, mesti tunggu turun Nabi Isa dan Imam Mahdi dulu baru boleh laksanakan hudud, waaahhh, ini sudah lebey. 20 tahun kerajaan Kelantan tunggu, bukan sedikit masa tu.

Bagi mereka yang masih samar-samar tentang hudud, jangan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa memahami, mendalami dan menekuni isu ini dengan semasak-masaknya. Ditakuti, jatuh akidah dan syahadah sebagai seorang muslim apabila mempertikaikan dan menafikan ianya, iaitu hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. Tanyalah ulama’-ulama’ yang thiqah jika ada keraguan dan kemusykilan. Jangan ditanya ulama’ suuk, bukan pencerahan yang ditunjukkan, tetapi kegelapan dan kesesatan akan ditemui. Kadang-kadang dalam isu ini juga hendak ku sumpah seranah kepada seluruh pejuang kebebasan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia. Bila Kelantan mewajibkan seorang perempuan itu memakai tudung, maka muncullah pejuang-pejuang kebebasan keluar dari gua mana ntah, tiba-tiba menentang syariat ini kerana tidak memberikan wanita kebebasan untuk memilih sama ada memakai tudung atau tidak. Bila Kelantan melarang wanita membuka aurat pada iklan-iklan komersial, bangunlah pejuang kebebasan mempertikaikan hukum itu dengan slogan ‘di mana kebebasan?’

Tetapi apabila seluruh rakyat Kelantan memberikan mandat dan watikah kepada Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hudud, untuk keluar dari kepompong undang-undang buatan manusia ke undang-undang buatan Allah, tiada satu suara pun dari pejuang kebebasan berbisik, inikan pula berteriak memperjuangkannya. Mengaum jauh sekali. Jadi ku ingin memulangkan kembali slogan yang sering mereka perjuangkan ‘di mana kebebasan?’. Dan di mana kebebasan rakyat Kelantan untuk melaksanakan hudud ?.

Jom Belajar Berlapar

Posted on

Tiada satu kitab dalam dunia ini yang menulis tentang hinanya kenyang dan mulianya berlapar melainkan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam, Imam Ghazali melalui hasil karangan agungnya “Kitab Ihya’ Ulumuddin”. Rujuklah dalam buku psikologi, motivasi barat, mahupun penulisan ilmiah dan fakta oleh kalangan doktor perubatan, tetap juga tidak akan ketemu penulisan seperti ini. Pembawaan Imam Ghazali dalam menyentuh hal lapar dan kenyang ini boleh membuat hati tersentuh, akal berfikir deras, pembawaan fakta yang cukup ampuh, melapikkan dalil nas as Sunnah dengan keterangan kajian sains, sudah cukup mereka yang mempunyai ‘ulul-albab’ mengakui kenyataan itu.

Apabila mengadap bab ini, terasa hati berkata benar dan tepat pandangannya, akan tetapi, katakan tidak untuk mengamalkannya. Apakah senang untuk diri seseorang menahan lapar dan mengenepikan kenyang tanpa ada sebab melainkan berpuasa di bulan Ramadhan ? Andai bulan Ramadhan itu dihukum sunat, sudah tentu akan kedapatan jumlah manusia yang cukup terpencil melaksanakannya. Sedangkan dihukum wajib pun masih ramai yang tidak berpuasa, inikan pula sunat. Puasa 6 ? Errmm..lambat lagi.

Imam Ghazali telah menyebut dalam kitabnya begini :

Sebesar-besar kehancuran ke atas bani Adam adalah syahwat perut, disebabkan syahwat perut Nabi Adam a.s dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga ke dunia yang penuh dengan kehinaan, sedangkan telah dilarang ke atas mereka berdua untuk memakan buah daripada pokok tersebut, akan tetapi syahwat perut itu yang menguasai mereka lantas memakannya. Perut adalah tempat lahirnya syahwat, tumbuhnya pelbagai penyakit dan kesengsaraan, kerana selepas seseorang itu kenyang, syahwat faraj pula menyusul dengan mendorong diri untuk menikah. Setelah seseorang itu kenyang dengan syahwat perut dan nikah, ia akan menjadi pendesak utama untuk merebut syahwat pangkat dan harta, kerana dengan dua agen inilah berperanan untuk terus mengekalkan nafsu kahwin dan perut” (Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali, Maktabah Taufiqiah, Mesir, Jilid 3, m/s 112)

Itulah hakikat kenyang yang mesti diketahui oleh setiap manusia. Bukan mudah untuk mengekalkan kelaparan demi menundukkan hawa nafsu yang begitu serakah. Nafsu tidak pernah merasa tua walaupun usia semakin meningkat, bahkan nafsu kelihatan muda walaupun empunya badan sudah mencecah separuh abad usia. Kitab tasawuf ada menyatakan :

Nafsu itu jika dibakar dalam neraka sekalipun, ia tetap masih bernyawa dan hidup, hanya satu cara sahaja untuk mematikan nafsu itu, iaitu dengan berlapar.

Itulah bahaya nafsu dan kerakusannya begitu terserlah apabila manusia sering mahu hidup dalam kekenyangan, sedangkan hatinya, rohnya dibiarkan kelaparan. Justeru, kawal nafsu makan dan cuba untuk belajar berlapar. Duit jimat, badan sihat, akal cerdas dan yang pentingnya, nafsu tewas dengan anda, disamping menghayati dan merasai penderitaan saudara seIslam kita yang berada di Somalia.

Osama Dan Peristiwa 09112001

Posted on

Baru-baru ini, Amerika Syarikat ada menyambut ulangtahun 9 September 2001. Bersempena dengan keganasan dan keruntuhan WTC. Siapa pelaku dan perancang utama serangan ini, sampai sekarang belum didakwa. Hasilnya, umat Islam terus dikambinghitamkan oleh media barat. Osama Ben Laden adalah mangsanya. 10 tahun Osama diburu oleh kuasa besar dunia. Sekarang, Muammar Ghadafi terus berjuang ingin mempertahan kedaulatan Libya dan kuasanya, Nato pula menjadi perkakas Amerika Syarikat untuk terus menjajah dan menganyang dunia umat Islam. Lemahnya umat Islam sekarang ini. Sehinggakan Osama Ben Laden dikebumikan di laut, tiada umat Islam yang berani menentang keputusan Amerika. Cara Osama Ben Laden dikebumikan sebijik macam Megatron Transformers 1. Takut-takut selepas itu, wujud pula Osama Ben Laden 2 dengan siri ‘Revenge Of The Fallen’. Siapa tahu.

Mungkin ada dikalangan kita berpandangan, wajar Osama dibunuh disebabkan beliau adalah pengganas. Satu soalan yang perlu anda jawab jika anda terfikir begini. Apakah anda yakin beliau adalah pengganas? Anda akan yakin dan ‘confident’ jika bukti itu wujud, ada sandaran dalil audio atau visual tentang keganasannya, atau lebih meyakinkan lagi, pengakuannya secara terbuka kepada masyarakat dunia bahawa beliaulah perancang di sebalik siri-siri keganasan di dunia. Namun, semua itu tidak wujud. Jauh sekali dapat dibuktikan. Kali ini James Bonds gagal, Rambo diarah pencen awal, Mission Impossible ber’plus-plus’ impossible. Kesemuanya tidak mampu untuk kemukakan bukti keganasan Osama yang hanya berserban, memegang rifel AK-47 segenerasi perang dunia ke 2, tanpa baju kalis peluru berbanding dengan US Seals yang dilengkapi dengan Interceptor Armor, ASGT-Helmet, Night Vision Goggles, Binocular, Multiple Integrated Laser Engagement System, M4A1 SOPMOD dan M68 Aimpoint.

Akhirnya, tiada jalan lain yang lebih baik untuk menuduh Osama ini sebagai pengganas, melainkan dengan cara memfitnah, sekaligus menghukum mengikut persepsi dan hawa nafsu jahat mereka yang memusuhi Islam. Cuba layari http://cnn.com, time.com, newsweek.com, kesemuanya terlibat dalam mencipta provokasi terhadap Osama dan permusuhan terhadap Islam serta al Quran. Malangnya, ada sebahagian daripada kita yang terlalu mengikut plot dan jalan cerita yang direka oleh Amerika. Percaya bulat-bulat, tanpa menapis dan meniris pembohongan yang dilakukan. Menganggap segala berita, khabar dan spekulasi itu adalah sohih dan mutawatir sanadnya. Andai sesuatu hadis itu dibacakan, masing-masing sibuk untuk men‘takhrij’ hadis itu sohih, hasan, dhoif atau mauduk, namun apabila berhadapan dengan berita ini, jauh sekali untuk mengesahkan ianya benar atau tidak. Mana aci.

Hakikatnya, bukan jasad Osama Bin Laden yang mereka takuti dan geruni, tetapi akidah, taqwa dan iman yang dimiliki oleh Osama itu puncanya. Andai Osama itu seumpama Husni Mubarak, Mahmud Abbas sudah tentu nasibnya tidak seperti ini. Semangat jihad dan perjuangan yang dipelopori oleh Osama itulah yang mencipta masalah kepada Amerika dan sekutunya. Dan semangat jihad itulah yang menjadi agenda Amerika dan sekutunya barat untuk terus menyalahkan Islam sebagai pengganas. Benarkah Islam itu ganas ? Anda perlu jawab persoalan ini dahulu sebelum menghukum Osama itu adalah pengganas ataupun tidak.

Dedikasi Untuk Pengarang Kitab

Posted on

Dalam kitab arab “Taklimul Mutaallim” atau dalam ertinya “Pengajaran Bagi Penuntut Ilmu” adalah satu kitab tua yang sepatutnya dipelajari bagi mereka yang menuntut ilmu. Di sana terkandung adab-adab dan fasal-fasal dalam mensyarahkan tentang etika-etika sebagai penuntut ilmu Allah. Tatkala ku membaca kitab tersebut, ku doakan kepada pengarang kitab tersebut dengan doa, ” Qolal Muallifu Rahimahullahu Taala, Wa Nafaa’na Bihi Wa Bi Umuurihi Fid Darain, Amiin”. Yang bermaksud : “Telah berkata oleh pengarang kitab ini yang dibawah rahmat Allah Taala, dan adalah kami telah mengambil manfaat daripadanya (pengarang) dan segala perkara-perkara yang bersangkutan dengannya untuk kepentingan dunia dan akhirat, Amiin.

Itulah adab yang telah tok guru ajarkan pada ku apabila ingin membaca kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama besar, mudah-mudahan doa tersebut memudahkan untuk belajar apa yang terisi dalam kitab penulis, sebagai memohon keizinan membaca, memanfaatkannya lantas menjadi sebagai satu wasilah untuk mencari kebenaran dan menghapuskan kejahilan dalam diri pembaca. Semasa membaca kitab tersebut, si penulis telah mendatangkan satu baris ayat yang cukup membuat pembaca boleh terfikir beberapa kali untuk memahami maksud di sebalik ayat tersebut. Dia menyebut ” Innal Insaana La Yakfuru Bil Maksiah, Walakin Yakfuru Bitarkil Hurmah “. Bermaksud : Sesungguhnya insan itu tidak dihukum kufur dengan melakukan maksiat, akan tetapi dihukum kufur apabila meninggalkan kemuliaan Islam. Tepat sekali, diakui sememangnya si pelaku maksiat tidak akan dihukum sebagai kufur selagi mana maksiat yang dilakukan itu tidak melibatkan dosa syirik kepada Allah Taala. Cuma gelaran ‘fasik’ itu sudah confirm melekat dalam dirinya. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan meninggalkan kemuliaan Islam?

Dalam kitab ini telah menyebut, ianya mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram. Ataupun mungkin juga seseorang itu mengetahui perkara itu haram, dan melakukannya dihukum berdosa, tetapi dia tetap juga melakukan perkara tersebut. Boleh juga diertikan sebagai menghina atau memperlekehkan kemuliaan Islam seperti al Quran, as Sunnah dan segala hukum-hakam Islam. Namun begitu, apa yang boleh difahami bahawa tidak semua maksiat itu boleh membawa kepada kekufuran, akan tetapi, takrifan “meninggalkan kemuliaan Islam” itu boleh dihukum maksiat sekaligus jatuh kufur. Pakej dua dalam satu. Dan banyak lagi yang boleh diambil pengajaran dan faedah daripada kitab ini. Cubalah untuk baca kitab ini, pasti anda merasai diri anda ‘zero’ dari rahmat dan barakah Allah dalam pencarian menuntut ilmu.