Day: 17/09/2011

Tak Rugi Merendah Diri

Posted on

Cuba tanya diri anda sendiri, mampukah anda terima sesuatu pandangan daripada orang yang lebih rendah taraf pendidikan daripada anda?  Atau bolehkah anda ‘consider’ dengan buah fikiran yang datang daripada orang yang lebih rendah darjatnya daripada anda ? Ataupun lebih muda daripada anda ?

Sekiranya jawapan anda tidak boleh, susah, no way, anda perlu renung dan baca ayat al Quran ini dengan hati yang terbuka, surah Hud ayat 27 yang bermaksud :

Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir dari kaumnya : Kami tidak melihat kamu, melainkan sebagai seorang manusia biasa seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina dina di antara kami yang lekas percaya saja, dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apapun atas kami, bahkan kami yakin bahawa kamu adalah orang-orang yang dusta

Dialog ini mengkisahkan tentang kaum nabi Nuh a.s ketika berdepan dengan golongan atasan daripada kaumnya. Sememangnya golongan atasan ini pada asalnya cerdik, bijak dan berkarisma tinggi dalam kepemimpinan, tetapi status dan darjat yang dimiliki itu menjadikan akal dan hati mereka buta apabila berhadapan dengan orang yang lebih rendah kedudukan di sisi mereka. Mungkin ini pantang namanya.

Andai kita menolak dan memperlekehkan orang yang lebih miskin dan tiada pendidikan itu dengan mengatakan mereka ini tidak tahu apa-apa. Kita silap sebenarnya. Islam tak pernah mengajar akhlak itu, malah baginda Rasulullah s.a.w juga pernah ditegur oleh Allah dalam surah Abasa. Sila rujuk asbabun nuzul surah Abasa, anda boleh dapat pencerahan sedikit mengenai isu ini. Pernah diceritakan dalam Majalah al Azhar, ada seorang ahli sains daripada Amerika Syarikat datang ke Mesir untuk mencipta satu mesin yang boleh menggantikan proses pengeraman telur daripada ibu ayam. Bermaksud, telur yang keluar terus daripada perut ibu ayam diambil dan dimasukkan dalam mesin untuk diproses terus menjadi telur ayam dan boleh dimakan tanpa melalui dahulu proses pengeraman.

Ahli saintis Amerika ini menemui kegagalan demi kegagalan untuk mencipta mesin ini. Sehinggalah datang seorang petani, juga seorang yang tua, tiada pendidikan khusus namun berpengalaman luas dalam bertani dan menternak haiwan. Dia mengemukakan cadangan kepada ahli sains tersebut supaya telur yang dimasukkan ke dalam mesin itu mesti ditelangkup setiap setengah jam. Teori ini timbul apabila si ibu ayam selepas 30 minit, telur yang di bawah pengeramannya pasti di terbalikkan untuk menyalurkan haba kepanasan pada telur-telur yang dikeramnya. Subhannallah. Macammana si ibu ayam boleh tahu masa 30 minit ? Ada jam Rolex di kakinya ? atau jam loceng yang menyedarkannya ? Jangan ditanya pada ku jawapan ini, tanyala pada si ayam sebelum disembelih. Hehehe.

Kita sambung balik. Teori yang diutarakan oleh seorang petani tua ini dipandang rendah dan ditolak mentah-mentah oleh saintis Amerika ini. Mana mungkin seorang saintis boleh mendengar cakap orang tua yang tiada pendidikan dan ‘kampung’ dengan perkembangan semasa. Jatuhlah martabat dan status Phd ni. Kajian tetap diteruskan, kegagalan demi kegagalan telah dialami oleh saintis ini, dan teori demi teori telah dicuba, cuma teori si tua petani ini sahaja yang belum diketengahkan. Maka saintis ini mencuba teori dan cadangan si tua petani ini. Tanpa diduga, teori itu realistik, kajian itu berjaya, mesin itu mengalami tahap inovasi dalam sejarah manusia dan ayam. Namun disebalik keberhasilan dan kejayaan itu, apakah si petani ini memohon untuk dibayar royalti hasil daripada idea itu ? Minta habuan wang ringgit apabila mesin itu berjaya dipatenkan ? Tidak sama sekali.

Lantaran itu, jadilah manusia yang tinggi ilmunya dan tinggi peribadi dan pekerti akhlaknya. Dalam hadis Rasulullah s.a.w ada menyebut :

Barangsiapa yang bersifat tawaduk (tidak meninggi diri) di kalangan manusia, nescaya Allah akan tinggikan darjatnya.

 

Advertisements

Kepada Sesiapa Yang Pernah Ku Zalimi..

Posted on Updated on

Andai seseorang itu mengutus surat rasmi, sudah pasti formatnya begini ” Kepada sesiapa yang berkenaan @ Kepada Tuan Pengarah @ Kepada Sohibussamahah @ Kepada Menteri ” isyarat khusus surat itu ditujukan dengan mesej yang penuh dengan harapan dan permintaan. Begitulah juga dengan mesej yang ingin disampaikan pada blog ini. Cetusan ini bermula tatkala membaca buku ‘ Dua’ Minal Quran ‘ (Doa dari al Quran) yang telah dikarang oleh Dr. Alauddin Muharram. Maka bermula dari situ, kali ini tulisan ini ditujukan ” Kepada Sesiapa Yang Pernah Ku Zalimi ” sepanjang usia ku menjengah 33 tahun, sudah tentu di sana ada kekurangan, kelemahan, kemunafikan, kezaliman yang pernah ku lakukan pada saudara-saudara ku sebelum ini.

Perlu berwaspada tidak hanya ketika berada di jalanraya. Dalam pergaulan sesama Islam perlu juga berwaspada. Takut-takut tanpa disedari, tersilap cakap, terkata, terlepas cakap, teraniaya dan yang lebih bahaya takut terzalim sesama saudara. Ada satu kisah yang telah diceritakan oleh Imam az Zahabi di dalam kitabnya yang masyhur al Kabair tentang dosa kezaliman ini.

Pada satu hari aku terlihat seorang lelaki yang tidak bertangan hingga ke bahu. Aku mendekatinya. Lantas lelaki itu berkata, “Janganlah kamu sekali-kali menzalimi sesiapa”. Aku bertanyakan kisah hidupnya, maka dia bercerita bahawa dia telah melakukan kezaliman pada seseorang. Kezaliman itu berlaku apabila dia terlihat seorang pemancing ikan telah berjaya memancing ikan yang besar. Bila melihat ikan yang besar itu, aku merampas ikan tersebut dengan cara kasar untuk menjadi santapan aku pada hari itu. Dalam perjalanan pulang ke rumah memikul ikan, tiba-tiba ikan tersebut mengigit ibu jari dan aku terasa sakit yang amat sangat. Pagi keesokannya aku berjumpa doktor dan menasihatkan aku agar dipotong jari ini. Aku patuh pada arahan doktor. Kesakitan tetap terasa lagi, namun pada kali ini dipergelangan tangan. Doktor memberikan cara penyelesaian yang sama, aku menurutinya. Hinggalah akhirnya kesakitan itu menjalar ke lengan aku. Doktor memberitahu agar dipotong ke semua tangan ini sebelum ianya meresap ke tubuh badan dan boleh membawa maut. Aku akur dan redha. Dan jika ada orang bertanyakan mengapa boleh jadi begini, aku ceritakan perkara yang sama. Sekiranya aku meminta ampun dan redha atas apa yang telah aku lakukan kepada orang yang aku zalimi sudah tentu tangan aku tidak dipotong dengan sedemikian rupa. Sehinggalah aku mencari dan menjejaki orang yang telah aku zalimi itu dan aku bertanyakan pada lelaki tersebut. Apakah kamu masih mengenali aku ? Jawab lelaki itu, tidak. Akulah orang yang telah merampas ikan yang telah engkau pancing satu ketika dulu dan aku ceritakan apa yang telah berlaku selepas itu dan tanpa disedari lelaki itu menangis. Ia berkata, aku telah halalkan apa yang telah kamu lakukan setelah aku melihat sendiri bala yang menimpa diri kamu. Aku bertanya, apakah kamu berdoa setelah aku merampas ikan kamu ? Jawabnya, ya. Aku berdoa, ‘ Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya lelaki ini telah menakutkan aku dengan kekuatannya, maka Engkau tunjukkanlah padaku kekuasaanMu’.

Kezaliman itu datang dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang melakukan kezaliman dengan menggunakan kuasa dan tidak kurang juga ada yang menggunakan kekuatan fizikal yang dimiliki untuk melakukan perkara zalim ini sepertimana cerita di atas. Boleh juga dikatakan bahawa kezaliman itu datang daripada mulut, pemikiran yang dicetuskan dan kemudian anggota badan yang menjadi pelaksana kezaliman itu. Jika sekiranya seseorang itu diberikan Allah kelebihan tertentu seperti rupa paras yang cantik, kepandaian, kecerdikan, kemahiran dalam apa jua bidang tetapi disalahgunakan untuk tujuan jahat, ia juga dikira sebagai zalim. Sebab itu dosa zalim ini dibalas terus di dunia tanpa perlu untuk menunggu pembalasannya di akhirat. Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya syarah hadis sohih Bukhari ada menyebut, dosa orang yang melakukan kezaliman ini dikira melakukan dua dosa sekaligus. Dosa kepada manusia dan dosa kepada Allah. Ini menjadikan dosa zalim itu berbeza dengan dosa lain daripada segi kedudukan dan balasannya di sisi Allah.

Andai kesalahan, dosa dan kezaliman itu perlu dibayar, tuntutlah ia selagimana diri ini masih dikandung hayat. Namun, jika kemaafan dan keampunan itu difikirkan lebih mulia dan terpuji, ampunilah dan maafkanlah diri ini demi untuk tidak melihat diri ku ini di azab oleh Allah.