Day: 21/09/2011

Jom Belajar Berlapar

Posted on

Tiada satu kitab dalam dunia ini yang menulis tentang hinanya kenyang dan mulianya berlapar melainkan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam, Imam Ghazali melalui hasil karangan agungnya “Kitab Ihya’ Ulumuddin”. Rujuklah dalam buku psikologi, motivasi barat, mahupun penulisan ilmiah dan fakta oleh kalangan doktor perubatan, tetap juga tidak akan ketemu penulisan seperti ini. Pembawaan Imam Ghazali dalam menyentuh hal lapar dan kenyang ini boleh membuat hati tersentuh, akal berfikir deras, pembawaan fakta yang cukup ampuh, melapikkan dalil nas as Sunnah dengan keterangan kajian sains, sudah cukup mereka yang mempunyai ‘ulul-albab’ mengakui kenyataan itu.

Apabila mengadap bab ini, terasa hati berkata benar dan tepat pandangannya, akan tetapi, katakan tidak untuk mengamalkannya. Apakah senang untuk diri seseorang menahan lapar dan mengenepikan kenyang tanpa ada sebab melainkan berpuasa di bulan Ramadhan ? Andai bulan Ramadhan itu dihukum sunat, sudah tentu akan kedapatan jumlah manusia yang cukup terpencil melaksanakannya. Sedangkan dihukum wajib pun masih ramai yang tidak berpuasa, inikan pula sunat. Puasa 6 ? Errmm..lambat lagi.

Imam Ghazali telah menyebut dalam kitabnya begini :

Sebesar-besar kehancuran ke atas bani Adam adalah syahwat perut, disebabkan syahwat perut Nabi Adam a.s dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga ke dunia yang penuh dengan kehinaan, sedangkan telah dilarang ke atas mereka berdua untuk memakan buah daripada pokok tersebut, akan tetapi syahwat perut itu yang menguasai mereka lantas memakannya. Perut adalah tempat lahirnya syahwat, tumbuhnya pelbagai penyakit dan kesengsaraan, kerana selepas seseorang itu kenyang, syahwat faraj pula menyusul dengan mendorong diri untuk menikah. Setelah seseorang itu kenyang dengan syahwat perut dan nikah, ia akan menjadi pendesak utama untuk merebut syahwat pangkat dan harta, kerana dengan dua agen inilah berperanan untuk terus mengekalkan nafsu kahwin dan perut” (Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali, Maktabah Taufiqiah, Mesir, Jilid 3, m/s 112)

Itulah hakikat kenyang yang mesti diketahui oleh setiap manusia. Bukan mudah untuk mengekalkan kelaparan demi menundukkan hawa nafsu yang begitu serakah. Nafsu tidak pernah merasa tua walaupun usia semakin meningkat, bahkan nafsu kelihatan muda walaupun empunya badan sudah mencecah separuh abad usia. Kitab tasawuf ada menyatakan :

Nafsu itu jika dibakar dalam neraka sekalipun, ia tetap masih bernyawa dan hidup, hanya satu cara sahaja untuk mematikan nafsu itu, iaitu dengan berlapar.

Itulah bahaya nafsu dan kerakusannya begitu terserlah apabila manusia sering mahu hidup dalam kekenyangan, sedangkan hatinya, rohnya dibiarkan kelaparan. Justeru, kawal nafsu makan dan cuba untuk belajar berlapar. Duit jimat, badan sihat, akal cerdas dan yang pentingnya, nafsu tewas dengan anda, disamping menghayati dan merasai penderitaan saudara seIslam kita yang berada di Somalia.

Osama Dan Peristiwa 09112001

Posted on

Baru-baru ini, Amerika Syarikat ada menyambut ulangtahun 9 September 2001. Bersempena dengan keganasan dan keruntuhan WTC. Siapa pelaku dan perancang utama serangan ini, sampai sekarang belum didakwa. Hasilnya, umat Islam terus dikambinghitamkan oleh media barat. Osama Ben Laden adalah mangsanya. 10 tahun Osama diburu oleh kuasa besar dunia. Sekarang, Muammar Ghadafi terus berjuang ingin mempertahan kedaulatan Libya dan kuasanya, Nato pula menjadi perkakas Amerika Syarikat untuk terus menjajah dan menganyang dunia umat Islam. Lemahnya umat Islam sekarang ini. Sehinggakan Osama Ben Laden dikebumikan di laut, tiada umat Islam yang berani menentang keputusan Amerika. Cara Osama Ben Laden dikebumikan sebijik macam Megatron Transformers 1. Takut-takut selepas itu, wujud pula Osama Ben Laden 2 dengan siri ‘Revenge Of The Fallen’. Siapa tahu.

Mungkin ada dikalangan kita berpandangan, wajar Osama dibunuh disebabkan beliau adalah pengganas. Satu soalan yang perlu anda jawab jika anda terfikir begini. Apakah anda yakin beliau adalah pengganas? Anda akan yakin dan ‘confident’ jika bukti itu wujud, ada sandaran dalil audio atau visual tentang keganasannya, atau lebih meyakinkan lagi, pengakuannya secara terbuka kepada masyarakat dunia bahawa beliaulah perancang di sebalik siri-siri keganasan di dunia. Namun, semua itu tidak wujud. Jauh sekali dapat dibuktikan. Kali ini James Bonds gagal, Rambo diarah pencen awal, Mission Impossible ber’plus-plus’ impossible. Kesemuanya tidak mampu untuk kemukakan bukti keganasan Osama yang hanya berserban, memegang rifel AK-47 segenerasi perang dunia ke 2, tanpa baju kalis peluru berbanding dengan US Seals yang dilengkapi dengan Interceptor Armor, ASGT-Helmet, Night Vision Goggles, Binocular, Multiple Integrated Laser Engagement System, M4A1 SOPMOD dan M68 Aimpoint.

Akhirnya, tiada jalan lain yang lebih baik untuk menuduh Osama ini sebagai pengganas, melainkan dengan cara memfitnah, sekaligus menghukum mengikut persepsi dan hawa nafsu jahat mereka yang memusuhi Islam. Cuba layari http://cnn.com, time.com, newsweek.com, kesemuanya terlibat dalam mencipta provokasi terhadap Osama dan permusuhan terhadap Islam serta al Quran. Malangnya, ada sebahagian daripada kita yang terlalu mengikut plot dan jalan cerita yang direka oleh Amerika. Percaya bulat-bulat, tanpa menapis dan meniris pembohongan yang dilakukan. Menganggap segala berita, khabar dan spekulasi itu adalah sohih dan mutawatir sanadnya. Andai sesuatu hadis itu dibacakan, masing-masing sibuk untuk men‘takhrij’ hadis itu sohih, hasan, dhoif atau mauduk, namun apabila berhadapan dengan berita ini, jauh sekali untuk mengesahkan ianya benar atau tidak. Mana aci.

Hakikatnya, bukan jasad Osama Bin Laden yang mereka takuti dan geruni, tetapi akidah, taqwa dan iman yang dimiliki oleh Osama itu puncanya. Andai Osama itu seumpama Husni Mubarak, Mahmud Abbas sudah tentu nasibnya tidak seperti ini. Semangat jihad dan perjuangan yang dipelopori oleh Osama itulah yang mencipta masalah kepada Amerika dan sekutunya. Dan semangat jihad itulah yang menjadi agenda Amerika dan sekutunya barat untuk terus menyalahkan Islam sebagai pengganas. Benarkah Islam itu ganas ? Anda perlu jawab persoalan ini dahulu sebelum menghukum Osama itu adalah pengganas ataupun tidak.

Dedikasi Untuk Pengarang Kitab

Posted on

Dalam kitab arab “Taklimul Mutaallim” atau dalam ertinya “Pengajaran Bagi Penuntut Ilmu” adalah satu kitab tua yang sepatutnya dipelajari bagi mereka yang menuntut ilmu. Di sana terkandung adab-adab dan fasal-fasal dalam mensyarahkan tentang etika-etika sebagai penuntut ilmu Allah. Tatkala ku membaca kitab tersebut, ku doakan kepada pengarang kitab tersebut dengan doa, ” Qolal Muallifu Rahimahullahu Taala, Wa Nafaa’na Bihi Wa Bi Umuurihi Fid Darain, Amiin”. Yang bermaksud : “Telah berkata oleh pengarang kitab ini yang dibawah rahmat Allah Taala, dan adalah kami telah mengambil manfaat daripadanya (pengarang) dan segala perkara-perkara yang bersangkutan dengannya untuk kepentingan dunia dan akhirat, Amiin.

Itulah adab yang telah tok guru ajarkan pada ku apabila ingin membaca kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama besar, mudah-mudahan doa tersebut memudahkan untuk belajar apa yang terisi dalam kitab penulis, sebagai memohon keizinan membaca, memanfaatkannya lantas menjadi sebagai satu wasilah untuk mencari kebenaran dan menghapuskan kejahilan dalam diri pembaca. Semasa membaca kitab tersebut, si penulis telah mendatangkan satu baris ayat yang cukup membuat pembaca boleh terfikir beberapa kali untuk memahami maksud di sebalik ayat tersebut. Dia menyebut ” Innal Insaana La Yakfuru Bil Maksiah, Walakin Yakfuru Bitarkil Hurmah “. Bermaksud : Sesungguhnya insan itu tidak dihukum kufur dengan melakukan maksiat, akan tetapi dihukum kufur apabila meninggalkan kemuliaan Islam. Tepat sekali, diakui sememangnya si pelaku maksiat tidak akan dihukum sebagai kufur selagi mana maksiat yang dilakukan itu tidak melibatkan dosa syirik kepada Allah Taala. Cuma gelaran ‘fasik’ itu sudah confirm melekat dalam dirinya. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan meninggalkan kemuliaan Islam?

Dalam kitab ini telah menyebut, ianya mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram. Ataupun mungkin juga seseorang itu mengetahui perkara itu haram, dan melakukannya dihukum berdosa, tetapi dia tetap juga melakukan perkara tersebut. Boleh juga diertikan sebagai menghina atau memperlekehkan kemuliaan Islam seperti al Quran, as Sunnah dan segala hukum-hakam Islam. Namun begitu, apa yang boleh difahami bahawa tidak semua maksiat itu boleh membawa kepada kekufuran, akan tetapi, takrifan “meninggalkan kemuliaan Islam” itu boleh dihukum maksiat sekaligus jatuh kufur. Pakej dua dalam satu. Dan banyak lagi yang boleh diambil pengajaran dan faedah daripada kitab ini. Cubalah untuk baca kitab ini, pasti anda merasai diri anda ‘zero’ dari rahmat dan barakah Allah dalam pencarian menuntut ilmu.

Siapa Yang Layak Menentu Baik dan Buruk ?

Posted on Updated on

Perbahasan dalam menentukan sesuatu sifat itu baik atau buruk,  telah lama menjadi pertelingkahan di kalangan golongan ilmuwan. Permasalahan ini berpunca daripada ketidakfahaman sebenar tentang hakikat kehidupan manusia di dunia ini. Sebahagian manusia telah meletakkan ‘mind set’ bahawa dunia segala-galanya hidup dan mati. Lantaran ideologi yang diserap masuk ini, telah memenatkan dirinya dan diri orang lain. Andai dunia itu sebagai matlamat kehidupan, percayalah, Allah akan terus memenatkan pencinta dunia dengan keletihan yang tanpa penghujungnya, malah sepi daripada memiliki sedikitpun nasib mereka di akhirat kelak.

Dunia ini dicipta khas untuk orang yang tidak beriman sahaja, kerana bagi mereka akhirat itu tiada, dunia adalah segalanya. Mereka lebih mempercayai bahawa segala jasa, amalan yang dilakukan sepanjang hidup hanya akan berakhir dan terhenti di dunia sahaja. Apakah telahan ini berasas ? Cuba lapangkan fikiran, bukakan mata akal dan hati, untuk melihat satu sudut yang lebih realistik. Hasilnya, dunia bukanlah tempat yang abadi untuk manusia, kenapa ? Umur yang ada pada manusia itu sendiri pun masih samar, was-was, ragu, tidak dapat dipastikan, berdiri atas sangkaan sehingga diri kita sendiri tidak mampu untuk meyakini bila had umur seseorang itu dimatikan. Tiada seorang dalam dunia ini yang mendakwa bahawa dia yakin akan terus hidup di dunia 70 tahun, 80 tahun atau lebih daripada itu. Firaun sendiri mengaku dirinya Tuhan tetapi tidak menafikan yang dia akan hidup selama-lamanya di dunia. Lihatlah sendiri, ada di kalangan manusia yang umurnya hanya sejam, sehari, dua minggu atau yang bernasib baik lebih daripada itu, adakah semua perjalanan ini di atur oleh akal dan jiwa manusia, atau ada disebaliknya itu wujud ‘remote’ yang berkuasa menentukan hidup  dan mati manusia di dunia.

Secara tabiinya, manusia terus menyangka bahawa dirinya mampu untuk hidup dalam jangka masa yang panjang, tetapi ‘dzon’ ini tidak boleh disandar jauh sekali diyakini.  Namun begitu, seorang mukmin yang tidak memandang dunia itu sebagai tempat untuk bergantung selamanya telah yakin bahawa, umurnya akan tetap kekal abadi apabila berada di alam akhirat. Itulah yang diimani, dipercayai dan dipegang hingga ke hari ini. Di akhirat, bagi mereka yang dilimpahi nikmat akan terus menikmatinya sampai bila-bila, adapun bagi mereka yang diazab, akan terus merasainya tanpa dihentikan sampai bila-bila.

Jika hendak menentukan hukum sesuatu perbuatan itu baik ataupun buruk pada manusia, semestinya meletakkan dua perkara itu berkait rapat dengan akhirat. Baru keputusan itu itu akan menzahirkan hukum yang sohih dan amat bermanfaat untuk diri dan orang lain. Akan tetapi, manusia tidak berbuat demikian, segala perkara baik atau buruk tidak dinilai mengikut KPI akhirat. Kefahaman baik dan buruk hanya berlingkaran mengikut hawa nafsu masing-masing. Selagi setiap apa yang mereka kerjakan itu memberikan hasil yang baik dan menjana keuntungan, ianya dikira baik, andai jika sesuatu perkara mereka ingin lakukan itu ada tegahan dan larangan daripada agama, ianya dianggap jahat. Selama mana pemikiran ini wujud dalam diri, selagi itu mentaliti manusia parah, rosak dan jauh daripada rahmat Allah Taala.

Manusia menilai baik dan buruk sesuatu perkara itu bergantung daripada kefahaman mereka sendiri, disamping cenderung mengikut kepentingan peribadi tanpa melihat lebih jauh daripada itu. Dalam masalah ini, persepsi individu sama sekali tidak boleh dijadikan neraca dalam menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan, kerana penilaian itu berdasarkan gerak hati, hawa nafsu, malah bersifat mementingkan diri sendiri.

Sekiranya kebaikan dan keburukan itu di’qias’ atau dinilai daripada pandangan seseorang, akan kedapatan ianya baik untuk dirinya dan buruk untuk orang lain. Sebagai contoh, seorang guru yang menetap di Selangor diarahkan oleh pentadbiran untuk ditukarkan ke Sabah disebabkan kekurangan guru pada subjek berkenaan, dan ganti bagi guru yang berpindah ke Sabah ini telah diisi oleh guru dari Kedah yang telah lama ingin berpindah ke Selangor. Dalam hal ini, guru yang berpindah ke Sabah merasakan perpindahan ini adalah satu keburukan pada dirinya, manakala bagi guru yang dapat ditukarkan ke Selangor beranggapan itu adalah baik untuk dirinya, sedangkan mereka berada dalam situasi yang sama.

Persoalannya, bagaimana boleh wujud elemen baik dan buruk dalam situasi dan keadaan yang sama. Dan adakah pada setiap kebaikan itu ada keburukan dan pada setiap keburukan itu wujud kebaikan ? Hakikatnya, manusia sama sekali tidak boleh menentukan sesuatu kebaikan itu menurut akal semata-mata. Mungkin bagi dirinya itu adalah baik, tetapi bagi orang lain ianya adalah malapetaka. Hanya Allah sahaja yang layak untuk menentukan baik dan buruk. Sebagai contoh, dalam isu pengharaman Islam terhadap arak dan makan kambing ekor pendek (khinzir) adakah pengharaman ini membawa padah buruk kepada manusia ? Tidak sama sekali. Sudah berapa lama hukum ini tetap ‘tsabit’, tidak berubah-ubah hingga hari kiamat. Ini bukan persoalan hukum yang menyuruh hambanya patuh dan taat pada perintah Allah semata-mata, tetapi persoalan disebalik pengharaman itu menunjukkan kajian sains dan teknologi juga akur dan tunduk pada ayat al Quran tentang kebenaran disebalik pengharaman itu. Lantas yang paling layak untuk menentukan baik dan buruk itu adalah syariat Allah, bukan akal, teori dan pandangan manusia.

Jangan Jadi Cap Ayam

Posted on

Dalam meniti kehidupan di dunia ini, pelbagai rintangan akan ditempuhi oleh setiap manusia. Dan macam-macam pengalaman yang dirasai dalam proses meniti usia hari demi hari. Ada pengalaman yang negatif dan ada positif. Sebab itu dalam al Quran, apabila Allah menyebut tentang dosa dan akibat daripada melakukan dosa tersebut, selepas itu Allah datangkan ayat taubat atau ayat yang menyuruh manusia memohon istighfar pada Allah. Jika pada mulanya Allah menyebut azab neraka, dipenghujungnya pasti Allah akan sebut nikmat syurga. Jika diawal ayat Allah menyebut rintangan dan cabaran tugas dakwah, selepas itu ada ayat yang menceritakan hasil daripada kesabaran melaksanakan tugas itu. Dalam kehidupan manusia juga begitu. Mustahil sifat positif dan mahmudah itu hak milik peribadi. Mesti ada negatif, hanya diri sendiri yang tahu. Confirm diri kita berdosa kerana kita bukanlah nabi dan rasul. Perkara ini ada disebut oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan Syarah Kitab Hikam al A’toiyyah oleh Dr. Saied Ramadhan al Buthi.

Namun semua itu tiada ‘ruh’ jika setiap pengalaman negatif yang diharungi itu tidak diambil manfaat dan diperbaiki dalam proses menjadi seorang muslim yang mempunyai minda dan akhlak kelas pertama. Diri sendiri terus berada dalam kerugian dan seringkali jatuh pada lubang yang sama. Adalah menjadi kemestian setiap perkara negatif itu di’convert’ menjadi lebih ‘evo’ positifnya. Kuatkan mujahadah, semangat dan tidak mudah putus asa dalam melakukan perubahan. Pernah sekali dengar kuliah yang disampaikan oleh sahabat Tabligh, dia cakap begini ‘setiap perkara maksiat tu semuanya pakai duit, nak pergi kelab malam pakai duit, nak minum arak kena ada duit, nak berjudi mesti lagi banyak pakai duit, tapi bila buat pahala tak perlu duit pun, nak solat, puasa, berzikir, baca Quran, dengar kuliah kesemuanya adalah percuma ‘no charge at all’. Ada benar jugak nasihat yang disampaikan itu.

Lantaran itu, gunakanlah setiap nikmat yang diberikan oleh Allah itu untuk terus cuba berubah dan berubah menjadi insan yang paling disukai oleh Allah S.W.T. Andai pada zaman ini manusia berebut-rebut menjadi artis yang glamour disisi manusia, apakah tidak boleh untuk  kita mencabar diri dan cuba untuk menjadi insan yang glamour di sisi Allah. Itu adalah yang lebih utama. Justeru, jadilah seorang mukmin kelas pertama, dan jangan sesekali jadi cap ayam. Hehehe.

Dajal, Nabi Isa, Yakjuj dan Makjuj serta Imam Mahdi

Posted on

 

Alhamdulillah, hari ni telah berjaya khatam dua kitab. Punya khusyuk baca (bukan tido) sampai nak baca lagi dan baca lagi dua kitab ni. Sebelum ni tiada berminat untuk mengkaji dan mendalami tentang kewujudan Dajal, turunnya nabi Isa, turunnya Imam Mahdi dan lahirnya Yakjuj dan Makjuj, tetapi bila study di Uia, ada sorang sahabat Phd dari Pattani nama dia Syeikh Nuar, dia kaji tentang perkara ni, dan bila dengar dia ceritakan apa yang akan berlaku pada masa akan datang bersandarkan hadis-hadis yang sohih, timbul pula minat untuk mendalam ‘anbak’ ini. Surf internet, download kitab-kitab arab yang membahaskan isu ini.

Dua kitab itu adalah ‘al Masihud Dajjal Wa Yakjuk Wa Makjuj’ dikarang oleh Imam Qurtubi, Cetakan Maktabah al Taufiqiyyah, Mesir. Dan kitab yang kedua adalah ‘Nuzul Isab Ni Maryam Akhiruz Zaman’ (Turunnya Nabi Isa Pada Penghujung Zaman) dikarang oleh Imam Sayuti, dan ditahqiq oleh Saad Karim ad Dara’mi, Cetakan Dar Ibnu Khaldun. Perbahasan cukup menarik dan boleh dikongsi bersama dalam blog ini. Dan segala penceritaan ini berdalilkan hadis-hadis sohih menambahkan lagi kepercayaan dan keyakinan bahawa segala apa yang diberitahu oleh al Quran dan Rasulullah s.a.w itu benar dan pasti berlaku.

Kalau sebelum ini, apa yang ku tahu sebelum mendalami isu ini, dajal ini akan muncul pada akhir zaman, namun bila baca dua kitab ini, sebenarnya dajal itu sudah wujud di zaman Rasulullah s.a.w. Dan Dajal ini juga pernah dilihat oleh Saidina Umar dan anaknya Ibnu Umar. Dajal pada zaman Rasulullah s.a.w itu dikenali sebagai Abu Soyyad. Isu ni bukan terhenti setakat itu sahaja, sebabnya Rasulullah s.a.w sebelum lahirnya Abu Soyyad ini, telah memberitahu Ibnu Umar tentang ciri-ciri dajal dan sifat fizikal ibu dan bapa dajal. Nak tahu apa sifat dia, ‘to be continue in another post la’.

Ini baru muqaddimah sahaja, InsyaAllah ada rezeki, kita sama-sama kongsi berita ini sebagai panduan untuk melakukan persediaan daripada segi keimanan dan ketaqwaan serta bermuhasabah diri sendiri serta mengharapkan agar termasuk dalam golongan yang beriman dan bertaqwa.