Month: February 2012

Believe In Yourself

Posted on

Believe in yourself when things aren’t going just right,

You’ll find the power to set things straight,

Believe in yourself when a challenge lies ahead,

You have a strong spirit that can conquer any obstacles.

…………………………………………….

Believe that u have the destiny,

The innate ability,

To become all you expect of life.

You may be going through some difficult time,

Wondering about how things will turn out.

Find the meaning of life’s struggles and accomplishments.

Don’t put away the dreams inside you.

Be hopeful and determine to make yourself exactly what you want to be.

Believe in yourself, nothing is beyond your reach.

Mari Bercerita 2

Posted on Updated on

Kisah Qarun Ditelan Bumi

*These two stories was created is to fulfilled my friends need to get prepare for their pupils during Islamic Lecture Contest inter school. One for boy and one for girl. Good luck !

Kisah Qarun adalah kisah seorang manusia yang hidup di zaman nabi Musa a.s yang mana Allah Taala telah mengurniakan kekayaan dan keluasan harta, namun dia beranggapan bahawa kekayaan yang dimilikinya itu adalah hasil daripada diri dan usahanya, bukan anugerah daripada Allah S.W.T. Perkara ini telah diberitahu oleh Allah Taala dalam surah Al Qasas ayat 78 yang bermaksud : Qarun berkata, sesungguhnya aku hanya diberi harta itu adalah kerana ilmu yang ada padaku. Menurut Imam Qurtubi, Qarun ini kaya disebabkan oleh beliau merupakan orang kanan Firaun, ada juga berpendapat yang Qarun ini telah mewarisi khazanah kekayaan yang dimiliki nabi Yusuf a.s, dan ada juga yang mengatakan bahawa Qarun ini kaya disebabkan kemahirannya menguasai ilmu kimia.[1]  Jumlah harta dan kekayaan Qarun ini telah digambarkan oleh Allah Taala dalam surah al Qasas ayat 76 yang bermaksud : Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.

Apa yang menyedihkan, kekayaan yang dimiliki oleh Qarun ini, bukanlah digunakan untuk membantu dan menolong golongan susah yang hidup dizamannya, sebaliknya menjadikan Qarun semakin sombong dan bongkak kepada manusia, sekaligus menolak serta memperlekeh ajaran nabi Musa a.s. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala surah Al Alaq ayat 6-7 yang bermaksud : Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. Untuk membuktikan bahawa Qarun ini lebih hebat daripada nabi Musa a.s, beliau telah mempamerkan segala hartanya dan menunjukkan perhiasan kekayaannya untuk tontonan umum pada masyarakat di zamannya. Tujuannya adalah untuk menyatakan bahawa kekayaan itu adalah mulia dan kemiskinan itu adalah hina, sepertimana yang diberitahu oleh Allah Taala dalam surah Al Qasas ayat 79 yang bermaksud : Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia, moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar.

Qarun bukan sahaja sombong dan bongkak, tetapi Qarun juga adalah seorang yang zalim. Ini terbukti apabila Qarun telah membuat konspirasi menuduh dan memfitnah nabi Musa a.s melakukan zina dengan seorang perempuan. Qarun telah menggunakan segala harta dan kekayaan yang dimilikinya untuk  mengupah seorang wanita supaya mengaku telah melakukan zina dengan nabi Musa a.s, namun konspirasi itu gagal apabila Allah menurunkan kitab Taurat yang membebaskan nabi Musa a.s daripada difitnah oleh Qarun. [2] Segala kezaliman dan kesombongan Qarun ini terhadap nabi Musa a.s dan rakyat dizamannya, telah mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Allah tidak suka kepada orang yang zalim, diktator dan penindas. Balasan di atas segala kejahatan Qarun ini telah termaktub dalam al Quran surah al Qasas ayat 81 yang bermaksud : Maka Kami benamkanlah Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah, dan tiadalah ia termasuk orang-orang yang dapat membela dirinya.

Sebelum mengakhiri cerita ini, ada 2 pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Qarun ini. Pengajaran pertama, kepentingan mengakui dengan penuh keimanan bahawa segala apa yang dimiliki oleh manusia itu sama ada kekayaan, kemewahan, kepandaian, kecantikan dan sebagainya, adalah datang dari kurniaan Allah Taala. Allah berkuasa untuk memberi segala nikmat pada sesiapa yang dikehendaki, dan Allah juga berkuasa untuk menarik nikmat itu kembali, jika nikmat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang dimurkai Allah S.W.T. Pengajaran kedua, keperluan bersyukur kepada Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberikan kepada kita. Kesyukuran itu bukan sahaja perlu diterjemahkan dengan ketaatan pada segala perintah Allah S.W.T, tetapi mesti menggunakan segala kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah Taala itu untuk berbakti kepada Islam dan manusia seluruh amnya. Sebelum saya mengakhiri cerita ini, izinkan saya untuk membaca sepotong ayat Al Quran ayat 12 yang berbunyi:

وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّماَ يَشْكُرُ لِنَفْسِهْ، وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَمِيْد

Dan barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

[1]  الإمام القرطبي، تحقيق: د. عبدالله بن عبد المحسن التركي، الجامع لأحكام القرآن، (بيروت: مؤسسة الرسالة، ط 1، 1427هـ/2006م)، ج 16، ص 315

[2]  الإمام القرطبي، تحقيق: د. عبدالله بن عبد المحسن التركي، الجامع لأحكام القرآن، ج 16، ص 314

Mari Bercerita 1

Posted on Updated on

Kisah Nabi Ismail Yang Dikorbankan

Sebelum saya menceritakan kisah ini dengan lebih terperinci, sukacitanya saya membawa hujjah al Quran pada surah as Soffat ayat 100 yang bermaksud : Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar iaitu (nabi Ismail a.s). Nabi Ismail adalah anak kepada nabi Ibrahim, dan apabila nabi Ibrahim sudah mencapai usia tua, beliau memohon kepada Allah agar dikurniakannya seorang anak yang boleh mewarisi perjuangannya selepas ini menyebarkan agama Allah. Doa nabi Ibrahim dimakbulkan Allah, dan lahirlah nabi Ismail. Secara logiknya, mana mungkin untuk nabi Ibrahim melahirkan seorang anak sedangkan beliau dan isterinya Sarah sudah terlalu tua, tetapi kekuasaan Allah itu menguasai segalanya dan melanggar hukum akal manusia. Lahirlah nabi Ismail menjadi permata hati nabi Ibrahim dan isterinya.

Setelah nabi Ismail a.s mencapai usia dewasa dan boleh memikul amanah dakwah yang diwarisi oleh bapanya, dengan tidak semena-mena ayahnya nabi Ibrahim a.s telah bermimpi sepertimana telah dikisahkan oleh al Quran ayat 102 surah As Soffat yang bermaksud : Maka tatkala anak itu sampai pada umur sanggup berusah bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Nabi Ibrahim begitu terkejut dan gementar dengan ujian yang telah Allah berikan ini kepada dirinya dan anaknya. Cuba bayangkan, bagaimana hati dan perasaan seorang ayah terhadap anaknya apabila diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya nabi Ismail a.s? Dalam hal ini, siapakah yang perlu didahulukan, perintah Allah atau perasaan kasih sayang pada seorang anak?

Lantaran itu, sudah menjadi kewajipan seorang ayah untuk berbincang dan mendengar isi hati dan pandangan seorang anak apabila sesuatu masalah itu berlaku bukan sahaja urusan yang melibatkan keagamaan bahkan keduniaan sekalipun. Lantas nabi Ibrahim meminta pandangan anaknya nabi Ismail, seraya berkata sepertimana yang tertulis di dalam al Quran surah As Soffat ayat 102 bermaksud : Maka fikirkanlah apa pendapatmu?, Ia(nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Lihatlah dan perhatikanlah apa yang dijawab oleh seorang anak apabila berhadapan dengan perintah Allah S.W.T, nabi Ismail a.s tidak merasa ragu-ragu, takut, kecewa dan sedih apabila dikhabarkan tentang mimpi itu. Malah nabi Ismail a.s memberikan dorongan dan semangat kepada ayahnya nabi Ibrahim a.s untuk terus yakin dan iltizam melaksanakan perintah Allah S.W.T. Sifat mulia yang ada pada nabi Ismail a.s ini telah Allah khabarkan pada surah Maryam ayat 54 yang bermaksud : Dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Ismail di dalam al Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.

Nabi Ibrahim telah membaringkan nabi Ismail a.s sepertimana sembelihan yang lain dengan mengikat kedua belah kaki dan tangannya di tanah. [1]  Ketika nabi Ibrahim a.s ingin menyembelih nabi Ismail a.s, nabi Ibrahim mendapat seruan daripada Allah seperti firman Allah yang bermaksud : Dan kami panggillah dia, hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.[2]  Tiba-tiba sedang nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail a.s, Allah telah menukarkan sembelihan itu kepada seekor kambing biri-biri dan ini bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud : Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang lebih besar.[3]

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini boleh ditujukan kepada ibu-baba dan anak-anak khususnya. Nabi Ibrahim a.s adalah seorang bapa yang taat pada perintah Allah, dan isterinya juga Sarah adalah seorang wanita yang solehah. Hasil daripada ketaatan suami dan isteri, telah berjaya melahirkan seorang anak yang soleh serta bertaraf seorang nabi sepertinya. Namun, realiti kehidupan nabi Ibrahim a.s dan pengorbanan nabi Ismail a.s tidak diambil pedoman masyarakat Islam Malaysia pada hari ini. Akhirnya, kita melihat golongan muda-mudi telah kehilangan jatidiri dan akhlak sebagai seorang muslim. Hal ini adalah hasil dan berkait-rapat dengan kerosakan institusi kekeluargaan yang telah meminggirkan ajaran Islam dalam keluarga.

Sebelum saya mengakhiri cerita saya pada hari ini sukacitanya saya berpesan kepada diri saya dan anda semua, bahawa ujian dan dugaan yang diterima oleh nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s, adalah cubaan yang amat berat. Adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim khususnya, untuk berpegang pada Allah Taala di samping banyak bersabar tatkala diuji dengan pelbagai mehnah dan cabaran.

[1] فريد، أحمد، تيسير المنان في قصص القرآن، (السعودية: دار ابن الجوزي، د.ت، د.ط)، ص 104-105

[2]  سورة الصافات : 104-105

[3]  سورة الصافات : 107

Darah=Susu@Susu=Darah ?

Posted on Updated on

Semalam baca buku yang dikarang oleh Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq (Bekas Syeikh al Azhar) yang bertajuk Bayanun Linnas (Penerangan Buat Manusia). Ada satu bab membicarakan tentang hukum pemindahan darah. Sekarang ini, kempen derma darah semakin giat dijalankan oleh kerajaan, swasta dan NGO. Apabila terbaca kitab ni, Syeikh telah mendatangkan persoalan yang memang membuat ku terfikir sekarang ni dan blur nak jawab. Malas fikir pun ade. Tapi kena fikir jugak sebab perkara itu pasti akan dilakukan oleh kita, kalau tak kita pun, ahli keluarga, sedara, kawan-kawan sedangkan setiap apa yang dilakukan oleh manusia itu pasti tidak lari daripada tiga perkara. Halal, haram dan harus.

Boleh tak jika diqiaskan orang yang memindah darah itu kepada orang lain dianggap sebagai seorang perempuan yang mempunyai susu telah memindahkan susu itu kepada orang lain yang bukan daripada keturunannya. Jika seorang perempuan menyusukan anak orang lain, perempuan itu digelar sebagai ibu susuan sekaligus haram keduanya untuk dinikahi. Apakah qias ini boleh dipakai bagi seseorang yang memindahkan darah itu kepada orang lain yang tidak mempunyai ikatan persaudaraan serta dianggap sebagai sedarah daging dan haram untuk dinikahi? Andai kita menjawab bahawa sememangnya susu yang diberikan kepada bayi lain itu adalah merupakan makanan khusus kepada bayi, adapun darah yang diderma atau dipindahkan itu bukan untuk makanan tetapi rawatan, sejauhmana jawapan ini boleh meyakinkan anda?

Jika susu yang diberikan kepada bayi itu dianggap sebagai makanan, dan semua sedia maklum, bahawa susu itu akhirnya akan berubah menjadi darah dan dengan darah itulah bayi itu akan hidup. Bagaimana pula dengan kes derma darah atau pemindahan darah? Darah itu juga akan turut berubah menjadi makanan kepada orang yang berkehendak padanya malah darah itu juga telah mengekal nyawanya. Semacam ada kesamaan dan tiada perbezaan.

Harapsiapayangarifsilaberipandangan.

You Are Nothing.

Posted on Updated on

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang berada dalam pemikiran kita tentang Islam perlu diperbetulkan kembali agar tidak menyalahi akidah sebenar. Adakalanya sesuatu yang diungkapkan oleh seseorang itu baginya adalah betul dan rasional, tepat dan tidak diragui lagi, tetapi hakikatnya ia sudah jauh menyimpang. Jika tidak diamati dan diteliti, boleh membawa seseorang itu terperosok dalam kesesatan. Sebagai contoh, sebahagian daripada kita sering mengungkapkan ” sesungguhnya aku dapat pahala disebabkan amalan yang aku lakukan, dan dengan amalan yang banyak ini membolehkan aku masuk syurga “. Apakah benar kenyataan ini ? Jika dilihat sepintas lalu, kata-kata ini ada benarnya juga, atas kapasiti menginjeksi semangat seseorang hamba itu agar ghairah dan rakus mengejar amalan soleh kepada Allah S.W.T, sekaligus amalan itu dikira sebagai downpayment untuk memperolehi syurga Allah Taala. Akan tetapi jika di skrin secara halus, dikasperskykan, sebenarnya ia boleh menggugat akidah kepada Allah S.W.T.

Jika seseorang itu berkata demikian, secara realitinya ia telah beranggapan bahawa syurga Allah S.W.T itu mempunyai harga. Harga untuk mendapat syurga itu bukanlah dengan nilai mata wang ringgit, dolar, euro, yen atau sebagainya, tetapi adalah dengan tiga perkara. Pertama, ibadah. Kedua, ketaatan. Ketiga, adalah menahan diri daripada melakukan perbuatan haram. Sekiranya seseorang hamba itu berjaya melakukan ketiga-tiga perkara ini, confirm syurga adalah miliknya. Jika kita berkata demikian, tiada bezanya dengan sistem jual beli yang diamalkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebagai contoh, Ahmad ingin menjual tanahnya 3 ekar dengan harga rm100 ribu, dan si Abu berminat dengan tanah itu dan dia telah membayar rm100 ribu kepada Ahmad dan secara langsung tanah 3 ekar itu menjadi hak milik Abu. Sama tak sistem jual beli antara Ahmad dan Abu ini dengan cara seorang hamba itu dengan Allah untuk mendapatkan syurga ? Sistem sama, analoginya pun sama, tetapi tidak beradab dan kurang asam!!

Kenapa tidak beradab dan kurang asam? Kita berbalik kepada muamalah antara Ahmad dan Abu. Setelah Abu menjadi pemilik mutlak pada tanah tersebut dan kemudian si Ahmad mencerobohi tanah yang dijual itu, sudah tentu Abu sebagai tuan tanah akan menghalau Ahmad. Sebab dia sudah beli tanah itu dari Abu dan kuasa sudah beralih ditangannya dan Ahmad tiada hak lagi ke atas tanah itu. Apakah sama dengan seorang hamba apabila berjaya memiliki syurga Allah Taala dengan membayar harga amalan soleh yang dilakukannya selama berada di dunia, dan kemudian melakukan sepertimana yang Abu lakukan kepada Ahmad? What the hell. Andai kita menilai untuk memperolehi syurga Allah Taala itu sepertimana sistem jual beli sesama manusia, we are totally wrong and pathetic.

Sakit kepala la pulak. Nanti saya sambung balik.

Chekidaout.

Jangan Jadi Presiden

Posted on Updated on

Ku mempunyai ramai kawan dari Syria. Maksudku kawan arab. Tidak pernah sekali ku bertapak di sana. Hanya dengar dari dekat tentang kehebatan negara itu memprodukkan Dr. Wahbah Zuhaili, Dr. Saied Ramadhan al Buthi, Syeikh Abdul Qadir Diyyab dan lain-lain. Kehebatan ulama-ulama tersebut sekali gus menjadikan Syria masyhur daripada sudut ilmu. Dahulu, Syria dikenali sebagai Syam, dan nama Damsyik tetap kekal hingga kini. Seperti mana tempat lahir Imam Bukhari, di Bukhara, tetapi disebabkan umat Islam dijajah, Bukhara bertukar menjadi Uzbekistan. Namun, Syria tidak seglamor Damsyik. Ahli sejarah lebih menyebut nama Damsyik berbanding Syria walaupun Damsyik itu hanya sebahagian bandaraya bagi Syria. Sebagai contoh kitab Umara’ Dimasyak Fil Islam (Pemimpin-pemimpin Damsyik Pada Zaman Islam), karangan Syeikh Khalil bin Abik As Sofadi Solahuddin dan kitab Tarikhu Dimasyk (Sejarah Damsyik) dikarang oleh Ibnu Asaakir, kedua-duanya lebih berminat meletakkan nama Damsyik berbanding Syria.

Bashar Assad nama Presiden Syria. Hampir-hampir dengan nama ayahandaku.  Sudah 40 tahun beliau memerintah. Presiden itu adalah jawatan keturunan, bukan jawatan demokrasi. Demokrasi hanya sekadar magik yang mengaburi mata rakyat dan dunia luar, bahawa sistem pemerintahan yang diamalkan adalah adil dan tidak berlaku ketirisan. BA sepatutnya memberi khabar gembira kepada seluruh rakyatnya bertepatan dengan kehalusan istilah pada segi namanya. Hakikatnya, tidak. Bukan berita gembira, tetapi semacam khabar dari neraka yang bertujuan mengazab rakyatnya. BA tidak langsung menoleh sejarah pemerintahan dahulu, betapa adil dan saksama,  luhur dan murni dalam muamalah sesama manusia antara raja dan rakyat. Realitinya, BA telah melayan dan menyantun rakyatnya dengan peluru dan bedilan bom. Membunuh, memancung dan merobek hati saudaranya dengan penuh kezaliman hanya kerana mahukan dia turun dari takhta.

Takhta itu seumpama dadah bagi seorang pemimpin. Tiadanya boleh membawa mati, penghinaan, kemiskinan dan paria. Itulah yang berlaku ke atas Zainal Abidin (Tunisia), Mohd Ali Saleh (Presiden Yaman), Husni Mubarak (Mesir) yang semuanya dijatuhkan secara paksa dan tidak bermaruah kerana terlalu cintakan takhta. BA pula bakal menyusul untuk disungkurkan oleh rakyatnya sendiri. Takhta itu apa ? Analoginya mudah. Ia adalah pangkat, kedudukan, kuasa yang boleh mengawal kehendak orang bawahannya mengikut kehendak orang atasan. Jika anda orang atasan, anda dipanggil dewa, keputusan dan pandangan anda adalah suci dan tiada kelemahan, tiada siapapun yang boleh mengkritik, hatta ulamak (ular dalam semak). Sekiranya anda orang bawahan, senang cerita, andalah pencacai angkat tong najis.

Macam kacau aje istilah tu. Taklah. Itulah kebenarannya. Tidak semua orang boleh menerima kebenaran. Walaupun kebenaran itu berada di hadapan batang hidungnya, jelas dan nyata di depan mata. Firaun bukannya rabun semasa mukjizat nabi Musa mengkokak seluruh ular kepunyaan ahli sihirnya, dia nampak, tapi buat dunno sebab dia pemerintah. Rujuk dalam al-Quran tentang kisah Firaun. Firaun apabila risau digulingkan pada masa akan datang, dia bagi arahan supaya semua anak lelaki yang dilahirkan mesti dibunuh. Firaun tak bunuh anak lelaki, yang buat kerja durjana itu adalah askar-askarnya. Firaun hanya pandai berak. Yang menghidu, melihat dan mengepam najis itu adalah pencacainya. Dalam masalah ini siapa yang patut dihukum? Ada tiga pandangan ulamak dalam perkara ini, inipun ku ambil daripada pandangan Dr. Saad Hilali, Ustaz Feqh Muqarran di Universiti al Azhar. Pandangan pertama, orang yang bagi arahan bunuh. Kedua, orang yang melaksanakan perintah bunuh, dan yang ketiga, dua-dua dikenakan hukuman. Namun, dalam undang-undang sivil, orang yang melaksanakan perintah bunuh itu mesti dihukum.

Kebebasan itu adalah sebahagian daripada Islam. Apa yang dipraktiskan oleh BA itu telah menelanjangi norma kebebasan yang dianjurkan oleh Islam. Jika Allah yang menciptakan, mematikan dan menghidupkan  manusia amat berhak untuk memaksa hambanya menyembah dan sujud kepadaNya, tetapi  telah memberikan kebebasan kepada manusia untuk beragama, siapakah engkau wahai BA untuk menghalang rakyat bangkit menuntut kebebasan? Bagi rakyat Syria, kebebasan itu hanya dengan BA digulingkan.

Zainal Abidin (tolak) Mohd Ali Saleh (tolak) Husni Mubarak (tolak) Bashar Assad = KEADILAN