Mari Bercerita 1

Posted on Updated on

Kisah Nabi Ismail Yang Dikorbankan

Sebelum saya menceritakan kisah ini dengan lebih terperinci, sukacitanya saya membawa hujjah al Quran pada surah as Soffat ayat 100 yang bermaksud : Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar iaitu (nabi Ismail a.s). Nabi Ismail adalah anak kepada nabi Ibrahim, dan apabila nabi Ibrahim sudah mencapai usia tua, beliau memohon kepada Allah agar dikurniakannya seorang anak yang boleh mewarisi perjuangannya selepas ini menyebarkan agama Allah. Doa nabi Ibrahim dimakbulkan Allah, dan lahirlah nabi Ismail. Secara logiknya, mana mungkin untuk nabi Ibrahim melahirkan seorang anak sedangkan beliau dan isterinya Sarah sudah terlalu tua, tetapi kekuasaan Allah itu menguasai segalanya dan melanggar hukum akal manusia. Lahirlah nabi Ismail menjadi permata hati nabi Ibrahim dan isterinya.

Setelah nabi Ismail a.s mencapai usia dewasa dan boleh memikul amanah dakwah yang diwarisi oleh bapanya, dengan tidak semena-mena ayahnya nabi Ibrahim a.s telah bermimpi sepertimana telah dikisahkan oleh al Quran ayat 102 surah As Soffat yang bermaksud : Maka tatkala anak itu sampai pada umur sanggup berusah bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Nabi Ibrahim begitu terkejut dan gementar dengan ujian yang telah Allah berikan ini kepada dirinya dan anaknya. Cuba bayangkan, bagaimana hati dan perasaan seorang ayah terhadap anaknya apabila diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya nabi Ismail a.s? Dalam hal ini, siapakah yang perlu didahulukan, perintah Allah atau perasaan kasih sayang pada seorang anak?

Lantaran itu, sudah menjadi kewajipan seorang ayah untuk berbincang dan mendengar isi hati dan pandangan seorang anak apabila sesuatu masalah itu berlaku bukan sahaja urusan yang melibatkan keagamaan bahkan keduniaan sekalipun. Lantas nabi Ibrahim meminta pandangan anaknya nabi Ismail, seraya berkata sepertimana yang tertulis di dalam al Quran surah As Soffat ayat 102 bermaksud : Maka fikirkanlah apa pendapatmu?, Ia(nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Lihatlah dan perhatikanlah apa yang dijawab oleh seorang anak apabila berhadapan dengan perintah Allah S.W.T, nabi Ismail a.s tidak merasa ragu-ragu, takut, kecewa dan sedih apabila dikhabarkan tentang mimpi itu. Malah nabi Ismail a.s memberikan dorongan dan semangat kepada ayahnya nabi Ibrahim a.s untuk terus yakin dan iltizam melaksanakan perintah Allah S.W.T. Sifat mulia yang ada pada nabi Ismail a.s ini telah Allah khabarkan pada surah Maryam ayat 54 yang bermaksud : Dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Ismail di dalam al Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.

Nabi Ibrahim telah membaringkan nabi Ismail a.s sepertimana sembelihan yang lain dengan mengikat kedua belah kaki dan tangannya di tanah. [1]  Ketika nabi Ibrahim a.s ingin menyembelih nabi Ismail a.s, nabi Ibrahim mendapat seruan daripada Allah seperti firman Allah yang bermaksud : Dan kami panggillah dia, hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.[2]  Tiba-tiba sedang nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail a.s, Allah telah menukarkan sembelihan itu kepada seekor kambing biri-biri dan ini bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud : Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang lebih besar.[3]

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini boleh ditujukan kepada ibu-baba dan anak-anak khususnya. Nabi Ibrahim a.s adalah seorang bapa yang taat pada perintah Allah, dan isterinya juga Sarah adalah seorang wanita yang solehah. Hasil daripada ketaatan suami dan isteri, telah berjaya melahirkan seorang anak yang soleh serta bertaraf seorang nabi sepertinya. Namun, realiti kehidupan nabi Ibrahim a.s dan pengorbanan nabi Ismail a.s tidak diambil pedoman masyarakat Islam Malaysia pada hari ini. Akhirnya, kita melihat golongan muda-mudi telah kehilangan jatidiri dan akhlak sebagai seorang muslim. Hal ini adalah hasil dan berkait-rapat dengan kerosakan institusi kekeluargaan yang telah meminggirkan ajaran Islam dalam keluarga.

Sebelum saya mengakhiri cerita saya pada hari ini sukacitanya saya berpesan kepada diri saya dan anda semua, bahawa ujian dan dugaan yang diterima oleh nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s, adalah cubaan yang amat berat. Adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim khususnya, untuk berpegang pada Allah Taala di samping banyak bersabar tatkala diuji dengan pelbagai mehnah dan cabaran.

[1] فريد، أحمد، تيسير المنان في قصص القرآن، (السعودية: دار ابن الجوزي، د.ت، د.ط)، ص 104-105

[2]  سورة الصافات : 104-105

[3]  سورة الصافات : 107

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s