Month: April 2013

Apa Akidah Anda ?

Posted on

Ulama

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

InsyaAllah jika tiada masalah, saya akan buka satu sub topik untuk membahaskan Ilmu Tauhid menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah. Apa takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah ? Sesiapa yang tidak boleh membezakan antara Muktazilah, Qadariyah dan Jabariyah sebenarnya dia bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekaligus, perbahasan ini akan menggunakan pendekatan dua sekolah yang masyhur. Sekolah pertama adalah mengikut pandangan Imam Al Maturidi dan keduanya adalah Imam Asya’ri. Topik perbincangannya adalah 50 sifat. 41 sifat bagi Allah dan 9 sifat bagi Rasul. Usaha ini adalah sebagai satu wasilah untuk mengenali siapa itu Allah. Bukan apa, pernah tak dibuat satu muhasabah sepanjang ibadah yang dilakukan ini, apakah kita mengenali Allah dengan sebenar-benar erti? Mengapa deruan nafas, nadi dan adrenalin ibadah di kalangan para salafussoleh amat berlainan dengan ibadah kita pada hari ini ? Apakah sebabnya ? Mengapa ibadah para salafussoleh diibarat sebagai nyawa mereka, adapun ibadah kita turun naik dan selalu surut. Tentu adalah masalah ‘basic’ yang tiris.

Sebab itu ulamak menyimpulkan secara ringkas ilmu yang mula-mula wajib dipelajari adalah Tauhid. Kena kenal Allah Taala dulu. Macammana nak sembah Allah, andai penyembah tidak kenal dan tak tahu menahu apa yang disembah. Taqlid buta dan akhirnya bisikan syaitan menjadi juru bicara hati dan akal. Untuk mengenali Allah, bukan hanya dengan akal dan pancaindera sahaja, semua anggota berperanan. Dan tiada agama dalam dunia ini yang mana Tuhannya memberitahu cara, kaedah dan bagaimana untuk menyembahnya melainkan Allah. Allah sahaja yang mewahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w bagaimana mengajar umatnya menyembah Allah. Maka diwajibkan ke atas kita solat 5 waktu. Bagi memastikan setiap solat yang dilakukan itu sah, menepati segala rukun dan syarat, kena belajar Feqah selepas Tauhid. Dalam Feqah ada tafsir, hadith, syariah, maqosid dan segala-galanya. Jangan sempitkan Feqah hanya berkenaan dengan hukum-hukum ibadat. Pengertian Feqah terlalu luas. Dan step yang ke seterusnya, setelah mengenal Allah, cara ibadah pun dah sahih, sewajibnya mempelajari Tasawwuf. Ini kerana, ibadah akan jadi adat andai hilang keikhlasan dan ketulusan untuk beribadah kepada Allah, ini berlainan pula jika riya’, sombong, takabbur, bongkak wujud dalam ibadah. Sesahih manapun ibadah, andai penyakit-penyakit ini wujud dalam hati, celaka dan bangsatlah pelaku ibadah tersebut.

Namun apa yang perlu diketahui, walaupun anda menguasai 50 sifat ini dengan sempurna, belum tentu kita akan mengetahui hakikat Allah Taala. Tak mungkin. Ini kerana akal kita terbatas, sekali lagi saya ulang, impossible. 50 sifat ini sebagai satu wasilah untuk menyatakan Allahu Rabbi, segala-gala untukNya, mati dan hidup adalah untukNya. Tiada apapun yang dilakukan untuk diri ini melainkan kesemua untukNya. Hanyasanya untukNya…

Advertisements

Salam Jumaat

Posted on Updated on

JumaatHari ini adalah Jumaat, 19 April 2013 bersamaan dengan 8 JamadilAkhir 1434H. Dalam bahasa arab, satu itu disebut wahid dan di situlah kalimah Ahad diambil, dua pula Ithnain dalam bahasa arab, dan dimelayukan menjadi Isnin, tiga pula Sulasa’ menjadi Selasa, Rabu pula diambil daripada kalimah Arbaa’h bermaksud empat, Khamis berasal daripada Khamsa bererti lima. Tetapi mengapa hari keenam tidak disebut sebagai Sadith ? Tetapi disebut Jumuah atau Juma’h dan melayunya Jumaat ? Jumuah atau Juma’h membawa makna berhimpun atau berkumpul. Menurut pandangan Imam Sya’rawi, dinamakan Jumuah@Juma’h kerana pada hari tersebutlah telah terciptanya bumi, dan pada hari itulah juga akan berlaku kehancuran dan leburnya bumi dan alam ini untuk menandakan berlakunya kiamat, seterusnya seluruh manusia dibangkitkan serta dikumpulkan di padang mahsyar dan ini bertepatan juga sebagai simbolik mengapa lelaki itu diwajibkan untuk pergi menunaikan solat Jumaat.

Nak tahu tak, dalam hukum Islam, sekiranya seorang lelaki itu enggan menunaikan solat Jumaat hukumannya boleh dipancung ! Tetapi yang sedihnya, ramai lelaki yang masih tidak menunaikan solat Jumaat zaman ini.

Tetapi tahukah anda, antara hari-hari yang disebut diatas hanya Jumaat dan Sabtu sahaja yang disebut dalam Al Quran. Yang lainnya tiada. Al Quran menyebut hari Jumaat dalam Surah Al Jumu’ah sendiri pada ayat ke 9 yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman, apabila di seru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Manakala hari Sabtu pula, Allah menyatakan dalam Al Quran dalam Surah An Nisa’ ayat yang ke 47 yang bermaksud :

Hai orang-orang yang telah diberi Al Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al Quran) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami merubah muka kamu, lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuk mereka sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang yang berbuat maksiat pada hari Sabtu dan ketetapan Allah pasti berlaku.

Ada lagi ayat Al Quran yang sebut tentang hari Sabtu. Boleh rujuk pada surah Al Baqarah ayat 65, Surah An Nisa’ ayat 54, Surah An Nahl ayat 124 dan Surah Al A’raf ayat 163. Sifir yang mesti ingat dalam kepala kita, bila sebut je hari Sabtu dalam Al Quran, pasti kesemuanya berkenaan dengan orang Yahudi.

Akhir kata, Salam Jumaat.

Selamat Datang ke Dunia

Posted on

Setiap manusia mesti mengingati tarikh lahirnya. Tarikh lahir adalah bukti jelas yang menunjukkan kewujudan seseorang di atas muka bumiWelcome ini. Welcome to The World. Adalah mustahil seseorang itu lupa tentang hari lahirnya dengan berpandangan bahawa ianya tiada membawa apapun pengertian. Peningkatan usia adalah sesuatu yang cukup ditakuti bagi manusia yang sudah tua. Adapun bagi mereka yang baru akil baligh, generasi ini tidak sabar-sabar untuk mendaki puncak umur kedewasaan padahal disebalik kedewasaan itu ada tanggungjawab berat yang sewajibnya perlu dipikul. Pertama, tanggungjawab ilmu dan kedua, adalah tanggungjawab amanah. Cer explain sikit apa maksud kedua-dua tanggungjawab tu ?

Macam ni, senang je. Semasa kita berumur 10 tahun (bagi lelaki yang belum akil baligh), kewajipan solat itu masih baru ditahap uploading dan belajar lagi, tak tahu apa-apa pun tentang rukun solat, syarat sah solat, perkara yang membatalkan solat, hanya ikut saja. Ikut pun sebab ibu dan bapa kaki solat. Andai ibu dan bapa kaki karaoke, anak akan jadi manaokey. Setelah usia meningkat tahun demi tahun, semakin banyak pengetahuan yang dibelajar, semakin dalam mengkaji keluasan ilmu keagamaan, di situlah terletaknya tanggungjawab pelaksanaan tatkala semua tahu tentang kebaikannya. Itu kalau rajin pergi dengar kuliah Maghrib, Subuh, Dhuha, ceramah agama, bertalaqi, kalau tak ? Tetap jahil jugak. Tidak hairanlah jika wujud manusia yang berusia 55 tahun berpencen, tetapi solatnya seperti budak berumur 10 tahun. Bacaan Qurannya seperti berada di level Iqra’. Mengapa ini berlaku ? Apabila ilmu agama itu tidak diangkat pada tempat yang selayaknya.

Rasionalnya, semakin banyak yang kita tahu tentang ilmu, semakin besarlah amanahnya. Bukannya kita semua tidak tahu tentang fadhilat melakukan qiamulail, tetapi berapa ramai daripada kita mampu melaksanakan apa yang dia tahu ? Bukannya kita tidak tahu bahawa bersedekah atau berinfak itu tidak mengurangkan sedikit hartapun, namun berapa ramai Hj. Bakhil dalam masyarakat Melayu ? Bukannya kita tidak tahu bahawa setiap manusia itu ada nafsu jahat yang mengajak melakukan perilaku kedurjanaan, namun berapa ramai yang mampu menundukkan hawa nafsu melutut pada ilmu yang dipelajari ? Bukannya kita tidak tahu, semua orang Islam tahu, tetapi…(jawab sendiri).

Bukan senang seseorang itu hendak menjadi seorang yang baik, insan yang bertaqwa, soleh dan solehah di kala zaman yang penuh dengan kepincangan dan kekusutan akhir-akhir ini. Cabarannya cukup besar dan berduri. Cuma kuatkan nekad dan azam, sangkutkan diri dengan mengiktiraf Allah sebagai tempat pergantungan yang abadi. Selainnya, carilah sebab-sebab untuk mendapat redha Allah disamping meninggalkan sebab-sebab yang boleh menjerumuskan diri pada kemurkaanNya. Ramai beranggapan bahawa, cantik, hensem, kacak, lawa itu adalah perkara subjektif, tetapi bila mana membincangkan amalan soleh, perilaku baik, ia tidak subjektif jika bertepatan dengan perintah Allah dan RasulNya. Semua manusia akan mengiktiraf perkara ini baik dan soleh, hatta yang berkata itu adalah seorang fasik, munafik atau bukan Islam kerana semua manusia ada fitrah ingin menjadi seorang manusia yang baik dan soleh.

Apapun, pokoknya, adalah ilmu.

Allah tidak melihat ilmu itu dengan mengukur berapa ayat yang dihafal, berapa hadis yang dingat, berapa banyak ceramah dan kuliah yang disampaikan, berapa scroll ijazah yang dimiliki, sama sekali tidak. Akan tetapi, Allah melihat dan mengukur berapa jumlah taabud seseorang kepada Allah dengan ilmu yang ia miliki. Semakin seseorang itu tahu, semakin besar ketakutannya kepada Allah. Itulah ukuran ilmu. Ini bermaksud, jika seseorang itu mendakwa ia sangat berilmu, tetapi ilmunya itu tidak langsung menjadikan dirinya takutkan  Allah, percayalah, itu bukan ilmu, tetapi hanyalah kemahiran. Kemahirannya itu diperolehi hasil daripada kesungguhannya selama ini, bukan suatu ilmu yang mampu memandunya mengenal pencipta alam ini.

Penghujungnya, hidup ini biarlah untuk ilmu. Khadam ilmu. Bawwab ilmu.

Martabat Doa Kita

Posted on

Yasin

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana tukang blog ini masih hidup lagi…hehe. Sekaligus ini bukan bermakna tukang blog sakit, uzur, tension atau under pressure (selagi hidup di dunia, biasala). Sebenarnya, bebanan kerja sekarang ini telah kuasa x2 menjadikan tak sempat-sempat nak menjenguk blog ni. Hampir sepurnama blog ini bersawang. Subhanallah. Namun apa yang perlu kita ketahui, biar hilang segala-galanya, jangan hilang pada zat diri itu nikmat Iman dan Islam. Jika seluas dunia ini berada di bawah telapak kaki kita, sekiranya tiada Iman dan Islam, tiada makna kehidupan itu. Dan itulah nikmat yang paling terbesar dan terbaekkkk… yang Allah anugerahkan pada makhluknya mengatasi nikmat-nikmat yang lain. InsyaAllah, bermula pada hari ini, kekosongan, kesuraman, kesepian pada blog ini akan digantikan dengan pengisian, kemeriahan dan kegembiraan ke arah mencari nur hidayah Allah Taala.

Kita sering berdoa kepada Allah Taala,

Ya Allah, berikanlah aku kejayaan dalam peperiksaan ini, Ya Allah, cepatkanlah jodoh ku dan temukanlah aku dengan pasangan yang soleh@solehah, Ya Allah, mudahkanlah aku dalam urusan kenaikan pangkat ini, Ya Allah, mudahkanlah urusanku untuk mendapat projek berbilion bilion ini, Ya Allah, kurniakanlah aku zuriat lelaki@perempuan dan pelbagai doa-doa yang dipinta.

Sedarkah diri kita disebalik doa-doa yang dibaca tadi, kesemua doa tersebut menjurus ke arah keduniaan ? Andai benar dan sahih doa yang dibaca itu sebijik macam di atas, apakah berdosa membaca doa seperti itu ? Jawapannya, tak berdosalah. Bagus pe semua doa tu, namun, dimanakah doa seperti ini,

Ya Allah, berikanlah aku hidayah agar aku lebih dekatkan diri kepadaMu, Ya Allah, tegakkanlah Islam dimuka bumi ini, Ya Allah, jauhilah aku daripada azab api neraka, Ya Allah, mudahkanlah hisab ku di akhirat nanti, Ya Allah, kurniakanlah aku mati syahid, Ya Allah, tempatkanlah ruh ku nanti bersama para¬† Nabiyyin, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin.

Jika diteliti dan diperhalusi setiap doa yang dibaca, kebanyakannya tertumpu dan terarah kepada menyenangkan kehidupan keduniaan, sedangkan kehidupan di akhirat itu adalah kehidupan yang kekal abadi dan selama-lamanya, tidak dipandang sebagai keutamaan. Tidak salah jika kesemua doa yang dibaca, 100 peratus memohon agar Allah memberikan kemudahan dalam urusan keduniaan, tetapi, jangan tonjolkan kejahilan kita dengan menganggap hanya dunia adalah segala-galanya, memohon Allah menyelamatkan kehidupan di dunia, tetapi ‘haram’ tidak memohon langsung agar Allah menyelamatkan diri daripada azab di akhirat kelak. Cukup dengan doa yang diucapkan oleh setiap hamba selepas solat, sudah tahu di mana dia meletakkan martabat dirinya sama ada untuk dunia atau akhirat.

Andai dunia mempunyai ketinggian darjat dan mulianya disisi Allah bahkan dianggap sebagai tempat pembalasan baik dan buruk atas apa yang dikerjakan oleh kita selama ini, sudah tentu Rasulullah s.a.w tidak akan hidup dengan serba kedhaifan, malah baginda Rasulullah s.a.w akan kaya, mewah dan bermaharajalela, jika hakikatnya dunia ini adalah tempat abadi untuk selama-lamanya. Realitinya, dunia ini fana dan kefanaan itu menjadi kegilaan manusia untuk terus berkejar dan berhambat semampu mungkin meraih segala-galanya. Andai Rasulullah s.a.w sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah hidup dalam serba kekurangan, inikan pulak kita yang Allah langsung tak iktiraf apa-apa pun disisiNya. Justeru, renung kehidupan kita, semestinya lebih hebat, ranggi dan sentiasa updated.