Al Bahs

Salam Jumaat

Posted on Updated on

JumaatHari ini adalah Jumaat, 19 April 2013 bersamaan dengan 8 JamadilAkhir 1434H. Dalam bahasa arab, satu itu disebut wahid dan di situlah kalimah Ahad diambil, dua pula Ithnain dalam bahasa arab, dan dimelayukan menjadi Isnin, tiga pula Sulasa’ menjadi Selasa, Rabu pula diambil daripada kalimah Arbaa’h bermaksud empat, Khamis berasal daripada Khamsa bererti lima. Tetapi mengapa hari keenam tidak disebut sebagai Sadith ? Tetapi disebut Jumuah atau Juma’h dan melayunya Jumaat ? Jumuah atau Juma’h membawa makna berhimpun atau berkumpul. Menurut pandangan Imam Sya’rawi, dinamakan Jumuah@Juma’h kerana pada hari tersebutlah telah terciptanya bumi, dan pada hari itulah juga akan berlaku kehancuran dan leburnya bumi dan alam ini untuk menandakan berlakunya kiamat, seterusnya seluruh manusia dibangkitkan serta dikumpulkan di padang mahsyar dan ini bertepatan juga sebagai simbolik mengapa lelaki itu diwajibkan untuk pergi menunaikan solat Jumaat.

Nak tahu tak, dalam hukum Islam, sekiranya seorang lelaki itu enggan menunaikan solat Jumaat hukumannya boleh dipancung ! Tetapi yang sedihnya, ramai lelaki yang masih tidak menunaikan solat Jumaat zaman ini.

Tetapi tahukah anda, antara hari-hari yang disebut diatas hanya Jumaat dan Sabtu sahaja yang disebut dalam Al Quran. Yang lainnya tiada. Al Quran menyebut hari Jumaat dalam Surah Al Jumu’ah sendiri pada ayat ke 9 yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman, apabila di seru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Manakala hari Sabtu pula, Allah menyatakan dalam Al Quran dalam Surah An Nisa’ ayat yang ke 47 yang bermaksud :

Hai orang-orang yang telah diberi Al Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al Quran) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami merubah muka kamu, lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuk mereka sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang yang berbuat maksiat pada hari Sabtu dan ketetapan Allah pasti berlaku.

Ada lagi ayat Al Quran yang sebut tentang hari Sabtu. Boleh rujuk pada surah Al Baqarah ayat 65, Surah An Nisa’ ayat 54, Surah An Nahl ayat 124 dan Surah Al A’raf ayat 163. Sifir yang mesti ingat dalam kepala kita, bila sebut je hari Sabtu dalam Al Quran, pasti kesemuanya berkenaan dengan orang Yahudi.

Akhir kata, Salam Jumaat.

Basic Output : How To Make a Proposal in Islamic Studies

Posted on Updated on

* This is a sample of proposal in Malay that has been corrected by me. The topic of proposal was great, discuss about religious conversion in Johor State. I did helped my friend (Ustaz) to set up and idea about his Master proposal, hopefully with all these corrections, it might help Ustaz a little bit guidance to make proposal much more better than i did. Good luck and Bittaufik Wan Najah.

1.0       PENGENALAN

Murtad merupakan salah satu jenayah yang termasuk dalam jenayah yang wajib dihukum mengikut ketentuan Hukum Hudud. Ini disebabkan ia amat merbahaya kepada umat Islam yang lain kerana jenayah ini boleh mempengaruhi seseorang muslim untuk turut keluar daripada Islam. Perkataan Murtad berasal daripada bahasa Arab iaitu Riddah atau Irtidad. Dari sudut bahasa, perkataan Riddah membawa maksud kembali atau rujuk iaitu kembali daripada sesuatu  kepada sesuatu yang lain. Adapun perkataan Irtidad pula, ia membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain. Manakala dari sudut istilahnya pula, irtidad bermaksud keluar dari agama Islam dan menganut agama lain atau akidah lain atau mana-mana ajaran sesat yang menyeleweng sama ada melalui perkataan, perbuatan, i’tikad dan kepercayaan hati seseorang.1

(Ustaz, on this preface paragraph we probably not necessary to explain the definition of murtad and the best place to describe the definition of murtad is on Chapter 2. For sure, the preface should tell the entire topic of thesis including pernyataan masalah, persoalan kajian, objektif, methodology and so on in single paragraph or more. On based my experience in writing the thesis, if your preface does take 2 or 3 paragraphs, that is cool).

2.0       PERNYATAAN MASALAH

(Ustaz, to write about pernyataan masalah it’s quiet though and challenging to write it. By the way it’s more easier than we thought if we did already made some research about the topic in various sides of interest and on the same time, we try to make the problem alive and currently in progress).

Dewasa ini, gejala murtad merupakan isu yang hangat diperbincangkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Seperti negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, Johor juga tidak terkecuali daripada membicarakan tentang gejala murtad. Ia menjadi kebimbangan kepada umat Islam di negeri ini kerana pelbagai alternatif dan pendekatan telah dijalankan terhadap umat Islam dalam menangani masalah murtad, namun bilangan individu yang telah murtad dan juga yang telah mendaftar untuk membuat pertukaran agama masih di tahap yang membimbangkan. Ini disebabkan oleh, terdapat juga beberapa saluran lain yang diwujudkan untuk mempermudahkan mereka yang berkeinginan untuk menukar agama untuk membuat pengisytiharan murtad. Oleh yang demikian, gejala murtad ini menjadi semakin sukar untuk dibendung oleh pihak berkuasa kerana perkara ini dirahsiakan oleh beberapa pihak tertentu yang juga menguruskan hal ehwal pengisytiharan murtad di negeri ini.

1  http://www.muftiwp.gov.my/v1/…/gejaamurtad.p.

Seperti di negara-negara miskin contohnya Bangladesh, pembasmian kemiskinan dilakukan dengan begitu pesat oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipelopori oleh golongan Kristian. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengkristiankan umat Islam di Bangladesh yang dinamakan sebagai evangelization. Pertubuhan yang diwujudkan untuk membasmi kemiskinan di Bangladesh membawa agenda tersembunyi kerana sebanyak ratusan juta diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan, namun hanya 5% sahaja daripada peruntukan tersebut yang digunakan untuk kumpulan sasaran. Peruntukan selebihnya digunakan untuk menukar agama masyarakat pribumi kepada agama Kristian.2  (Ustaz, it’s very-very useful and you would score the goal if you attach the figure of religious conversion spotted in Johorean particularly, if you couldn’t get the number or figure of the problem, at less try to hook the problem with the Malaysian generally, I think that also could be better) Perkara ini amat jelas membimbangkan umat Islam lain di seluruh dunia khususnya negara Islam yang mengalami masalah kemiskinan. Adakah Malaysia khususnya negeri Johor berkemungkinan akan berhadapan dengan perkara seumpama ini? Satu kajian perlu dijalankan untuk mengetahui punca utama masyarakat Islam di sini menukar agama mereka kerana pelbagai alternatif telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk membendung gejala ini. Antara pihak yang terlibat dalam menguruskan kes murtad atau pertukaran agama di negeri Johor ini termasuklah Majlis Agama Islam Negeri Johor, Pejabat Agama Daerah, Pejabat Kadi, Mahkamah Syariah, Jabatan Pendaftaran Negara, Peguam yang dilantik, Pesuruhjaya Sumpah dan Pusat Bukan Islam yang berdaftar.

Penyelidikan ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji dan mengenalpasti faktor-faktor yang mendorong kepada peningkatan gejala murtad dalam kalangan masyarakat Islam di sekitar daerah Johor Bahru. Kajian akan dijalankan ke atas responden yang terdiri daripada umat Islam yang telah keluar daripada Islam dan juga saudara baru (muallaf) yang kembali memeluk agama asal mereka. Responden akan ditemubual untuk mendapatkan persepsi mereka tentang pelbagai aspek yang mendorong kepada faktor pertukaran agama di samping mereka juga diminta untuk melengkapkan soal selidik. Kaedah ini mampu membantu kajian untuk mendapatkan maklumat sebenar faktor yang mendorong kepada peningkatan gejala murtad di negeri ini.

2. http://www.islamawareness.net/Asia/Bangladesh/chris.html

3.0       OBJEKTIF (Ustaz, for the detail about an objective, you may jump to persoalan kajian)

Objektif kajian ini adalah merangkumi beberapa perkara seperti berikut:

3.1       Mengenalpasti faktor-faktor peningkatan gejala murtad dalam kalangan masyarakat Islam di sekitar daerah Johor Bahru. Persepsi responden akan diambil untuk mengenalpasti sebab-sebab mereka keluar daripada Islam.

3.2       Mengenalpasti pendekatan atau alternatif yang telah dijalankan oleh pihak berwajib untuk mengatasi gejala murtad dan cabaran dalam menangani masalah tersebut.

3.3        Menghasilkan laporan kajian berhubung permasalahan yang menyebabkan peningkatan gejala murtad..

3.4       Membentuk model penyelesaian untuk mengurangkan peningkatan gejala murtad dan mencadangkan kepada pihak yang bertanggungjawab.

4.0       METODOLOGI

4.1       Menjalankan kajian rintis.

4.2       Mengadakan temubual dengan para responden terpilih yang terdiri daripada kalangan mereka yang telah menukar agama dan yang telah mendaftar untuk menukar agama; (Ustaz, I got some point to associate with the topic, after u did a research and got the causes that encouraged the people to make conversion, would you support the causes with dalil from Al Quran and As Sunah to make it more strong? In fact, if you underlying for what was happened to Islamic History (especially on Sayidina Abu Bakar term), u will get the answer and might relate it with the study that you have done right now).

4.3       Mengadakan temubual dengan pihak berkuasa tentang  kaedah pendekatan dan alternatif  yang telah dijalankan untuk membendung gejala murtad serta cabaran yang dihadapi mereka;

4.4       Mengedarkan soal selidik kepada responden

4.5       Menganalisis maklumat yang diperolehi

5.0       SKOP KAJIAN

(Ustaz, for now, your skop kajian concern only two type persons with no need to explain how you get the data).

Kajian ini terbatas kepada beberapa perkara seperti berikut:

5.1       Orang Islam yang telah keluar daripada Islam dan telah mendaftar untuk keluar

5.2       Saudara baru (muallaf) yang telah keluar daripada Islam dan memeluk agama asal mereka dan juga yang telah mendaftar untuk keluar

5.3       Perolehan data responden adalah terbatas kepada beberapa institusi termasuk Pejabat Agama Negeri, Pejabat Kadi, Mahkamah Syariah dan Jabatan Pendaftaran Negara di daerah Johor Bahru sahaja.  


6.0       PERSOALAN KAJIAN

(Ustaz, the persoalan kajian should be place after pernyataan masalah and then followed by objective, methodology and the last is skop kajian, and the useful tips that I want to share with you is, if your problem cases have 5, the objective also should be in 5, why ? Coz your whole thesis will discuss within 5 problems only and the answer should be 5. To create an objective of the topic, we must refer to problem cases. Ok, I will guide you how to make an objective in certain problems. Let’s say the below is your problem cases, and the objective are the red font that answer all the problem cases).

6.1       Mengapakah gejala murtad semakin meningkat di negeri Johor?

Mengkaji peningkatan gejala murtad di negeri Johor

6.2       Apakah punca atau faktor yang mendorong kepada peningkatan gejala murtad?

Menjelaskan punca dan faktor yang mendorong kepada gejala murtad

6.3       Mengapakah pendekatan yang telah dijalankan tidak berkesan?

Mengenalpasti sebab kegagalan pendekatan untuk mencegah gejala murtad

6.4       Apakah model penyelesaian terbaik untuk membendung gejala ini?

  Menghasilkan model terbaik untuk mencegah gejala murtad

6.5       Sejauhmana kesedaran masyarakat terhadap bahaya murtad dan kesannya kepada individu lain?

  Menilai kesedaran masyarakat terhadap murtad

*Ustaz, at the end, I’m not good enough to evaluate your proposal instead they are many lecturers are qualified than me. The rest, I looked ok but if you are going deeper and deeper about this topic, u are willing to get an award for the best thesis ever if you work hard and keep determination, InsyaAllah.

Hikmah Di Sebaliknya

Posted on Updated on

Manusia sama sekali tidak akan tahu hikmah disebalik pensyariatan sembahyang, puasa, zakat dan tunai haji melainkan dibuka satu persatu hikmah Allah itu mengikut zaman dan suasana. Manusia hanya mengerti meletakkan hukum berdasarkan akal masing-masing tanpa dipandu oleh syariat Allah dan itu boleh membawa kepada kesesatan. Kebanyakan daripada kita menyatakan apabila terjadi sesuatu bala, bencana, ujian dan malapetaka yang menimpa, untuk menyedapkan hati dan perasaan, kita menyatakan “mesti ada hikmah disebaliknya”. Benar jika pernyataan ini yang keluar daripada mulut seseorang, tetapi untuk mengetahui hikmah disebalik apa yang berlaku, akal manusia tidak boleh mencapai ketinggian itu.

Sebab itu Dr. Abdul Kafi telah menyatakan, jika manusia berpegang kepada dirinya akan menjadi lemah, jika berpegang kepada akal akan menjadi sesat, jika berpegang kepada harta akan papa dan jika berpegang kepada manusia akan hina. Lantaran, berpeganglah pada Allah nescaya anda tiada lemah, tiada sesat tiada papa dan tiada hina.

Lantaran itu, jika dibahas mengapa Allah mensyariatkan wuduk sebelum melakukan solat ? Apa kata  dianalogikan wuduk itu dengan mandi, sama-sama menggunakan air, tujuan pun sama, untuk membersihkan badan dari kekotoran, namun mengapa mandi tidak boleh diganti sebagai wuduk sedangkan jika hendak dibandingkan antara mana yang lebih bersih sama ada mandi atau wuduk, sudah tentu mandi. Mengapa jika seseorang itu mandi setiap kali solat, tetapi masih juga tidak boleh menggantikan fungsi wuduk ? Apa hikmahnya wuduk, sedangkan mandi lebih bersih ? Jika akal hendak menduga hikmah ini, sama sekali tidak tercapai.

Satu lagi, sekarang kita berada di bulan Ramadhan, dan ada dikalangan kita yang menyatakan bahawa antara hikmah berpuasa itu adalah supaya orang yang kaya dan mampu itu merasai penderitaan, kesusahan, kelaparan dan kedahagaan golongan fakir dan miskin yang mereka ini hanya kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Benarkah hikmah itu ? Imam Sya’rawi berpandangan, itu tidak benar, mengapa ? Jika Allah meletakkan hikmah berpuasa sebegitu, untuk apa Allah wajibkan juga kepada golongan fakir dan miskin untuk berpuasa sedangkan kehidupan mereka sentiasa diselubungi dengan kelaparan dan kedahagaan ? Sememangnya golongan ini tidak akan menemui hikmah di sebalik puasa di bulan Ramadhan.

Lantas, untuk menilai hikmah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah Taala adalah sukar untuk diduga. Pokok asalnya adalah kembali kepada sifat taabbud. Pengabdian yang tulus hanya pada Allah tanpa soal, ragu-ragu dan syak atas setiap apa yang diperintahkan.

Bagaimana ini boleh berlaku ? Sebagai manusia, memang diakui bahawa setiap kudrat yang ada pada kita itu terbatas. Jika hendak diukur ilmu yang ada pada kita dengan ilmu Allah, Subhanallah, Masyaallah, La Haw La Wala Quwwata Illa Billah, Hasbunallah Wa Nikmal Wakil. Betapa kerdilnya ilmu yang ada pada kita. Sebab ilmu Allah yang amat luas dan hebat itulah, manusia tidak mampu mengukur hikmah disebalik apa yang berlaku pada diri kita sendiri.

Segala puji bagi Allah Empunya Bumi dan Alam Semesta Ini…Rabbi Zidni Ilma..

Saya Mohon Engkar Pandangan Tuan Mufti

Posted on Updated on

Saya dengan rasa rendah diri ingin memohon engkar atas pandangan Tuan Mufti Sohibussamahah Datuk Harussani, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri dan Dr. Juanda Jaya berkenaan dengan pandangan menangguhkan puasa bagi atlit muslim yang menyertai Olimpik bermula pada 27 Julai 2012 bersamaan dengan 7 Ramadhan 1433 Hijrah. Setelah diteliti pada pandangan yang diberikan oleh Tuan-tuan mufti, kaedah “Rukhsah” (keringanan) yang diberikan kepada orang musafir itu adalah sebab utama menjadi hukum puasa Ramadhan itu boleh ditangguhkan.

Pandangan saya pula begini. Mari kita kembali kepada Sirah Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. Antara peristiwa besar yang tercatat dalam sejarah Rasulullah s.a.w di bulan Ramadhan adalah perang Badar. Pensyariatan berpuasa di bulan Ramadhan telah bermula pada 2 hijrah. Perang Badar juga berlaku pada 2 hijrah. Ini bermaksud, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa Ramadhan sebelum peperangan Badar itu berlaku lagi dalam beberapa hari. Namun, puasa tetap diteruskan para sahabat seramai 313 orang. Jika ada diantara kita yang berhujjah bahawa tempat berlakunya perang Badar itu dekat dengan Madinah dan tiada keperluan untuk melakukan Rukhsah, mari saya perjelaskan lagi.

Menurut pandangan ahli sejarah, jarak di antara tempat berlakunya perang Badar dan kota Madinah sejauh 150km. Sudah cukup syarat untuk Rasulullah s.a.w bersama dengan sahabatnya untuk melakukan Rukhsah. Namun persoalannya, mengapa Rasulullah s.a.w tidak menggunapakai Rukhsah ini, sedangkan beliau dalam keadaan musafir, berperang untuk menentukan jatuh bangunnya dakwah Islam ketika itu, tambahan pula pensyariatan berpuasa itu baru sahaja bermula ? Jawapannya, ini adalah kerana, puasa itu sebagai satu penyerahan mutlak kepada Allah untuk menunjukkan lemah dan naifnya tenaga manusia dalam mengatur segala urusan dunia. Jika manusia berpandangan bahawa mereka akan lebih bertenaga hasil daripada makanan dan minuman, pada hakikatnya mereka ditipu oleh akal mereka sendiri. Hakikatnya, Allahlah jua yang memberi kudrat dan kekuatan pada 4 kerat tulang kita untuk melakukan sesuatu. Sekaligus, ini membuktikan bahawa, bukan puasa menjadikan seseorang itu lemah dan bukan makan dan minum itu menjadikan seseorang itu kuat dan bertenaga.

Jika melihat kepada logik akal, 1000 orang tak berpuasa vs 313 orang berpuasa, siapa yang menang ? Sudah tentu bilangan 1000 orang itu dengan mudah sahaja menganyang 313 orang. Tetapi sejarah Islam tercatat apa ? 313 yang berpuasa itu yang johan, ganjarannya tak main la pingat emas Olimpik yang bernilai Rm 2 juta. Apa kelas.

Akhirnya, apakah Rukhsah yang Tuan-tuan mufti gunakan dalam menangguhkan hukum berpuasa Ramadhan semata-mata untuk meraih pingat emas Olimpik, dan jika atlit kita berjaya meraih pingat emas Olimpik sekalipun, adakah pingat emas itu mampu melepaskannya daripada azab neraka ? Dapat syafaatkan umat Islam daripada terlepas seksaan api neraka ? Jika tidak. Ia masih tidak menepati Maqosid Syari’yyah.

Andai saya silap dalam perbahasan ini, mohon sangat diperbetulkan.

Cintailah Aku, Kasihanilah Diriku..

Posted on Updated on

Dikisahkan dalam kitab Al Hikam karangan Imam Al Atoiyyah Al Askandarani, dan syarahnya pula oleh Dr. Mohd Saied Ramadhan Al Buthi, pada satu hari, seorang Khadimah (orang gaji perempuan) yang solehah telah bangun untuk melakukan qiamulalail di malam hari. Selepas sahaja dia selesai menunaikan solat sunat 2 rakaat, lantas dia menadah tangan dan membaca doa seperti berikut :

Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau cintailah diriku, dengan cintaMu pada diriku, akan bahagialah hidupku, akan mulialah diriku dan akan sihatlah tubuh badanku. Khadimah tersebut tidak menyedari bahawa doa yang dibaca tadi telah didengari oleh tuan rumahnya. Tatkala selesai khadimah itu membaca doa tersebut, tuan rumahnya datang dan menegur pada khadimah dan berkata, “Mengapa engkau berdoa supaya Allah cintakan kamu, siapa kamu! hingga memaksa Allah mencintaimu, sepatutnya kamu berdoa seperti ini, Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah aku rasa cintaku padaMu, dengan cintaku padaMu, akan bahagialah hidupku, akan mulialah diriku dan akan sihatlah tubuh badanku”. Maka jawablah khadimah itu kepada tuannya, “Kalau bukan kerana cinta Allah kepada diriku ini, mana mungkin untuk saya bangun malam untuk sujud kepadaNya, kalau bukan juga cinta Allah kepada diriku ini mana mungkin untuk saya menadah tangan memohon pengertianNya, kalau bukan kerana cinta Allah pada diriku ini, mana mampu bibir saya untuk menutur Subhanallah di malam yang hening ini”. Tergamam tuan rumah apabila mendengar jawapan si khadimah itu, sekaligus mengiyakan kebenarannya.

Tadi disyarah oleh Dr. Ramadhan al Buthi, kali ni pula biar ku syarah pulak, hehe. Apabila seorang hamba itu meletakkan segala syukur dan taabud kepada Allah dalam setiap saat dan tika, sudah tentu kecintaannya dan kerinduaannya pada Allah adalah luar biasa. Semestinya beliau mendambakan cinta Allah, mengharap dan  merayu agar Allah mencintai dirinya. Kerana dengan memiliki cinta Allah itu adalah satu perkara yang tiada galang gantinya. Di situlah hakikat dan penghujung kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan. Hanya dengan merasai sedikit cinta Allah pada hambaNya, diri tenang dikala orang lain merasa resah, diri bahagia dikala manusia menderita, walaupun insan lain melihat kemurungan menyelubungi diri.

Dalam situasi antara hubungan manusia dengan manusia, apabila seorang lelaki itu merayu kepada insan yang dikasihinya, cintailah aku, kasihanilah diriku, hanya dengan cintamu itu akan tenang jiwaku, akan membahagiakan aku, namun apakah rayuan itu didengari dan diambil kisah oleh kekasihnya? Belum tentu, dan semakin lambat lagi jika sesuatu kesalahan besar dilakukan. Menunduk insaf sekalipun, menangis air mata darah, belum tentu cinta itu didengari atau dipeduli. Itu cinta manusia. Cinta manusia berputik pada kesempurnaan tanpa melihat di sebalik kesempurnaan itu pasti ada kelemahan. Tetapi berlainan dengan cinta Allah pada manusia, sememangnya Allah mengetahui manusia selain dari para nabi dan rasul tidak boleh mencapai darjat kesempurnaan melainkan taqwa, dan dalam proses menggapai, meraih, mengejar darjat taqwa, sudah pasti hambanya terpalit dengan seribu dosa dan kelemahan. Sebab itu Allah mengetahui manusia itu tidak sempurna, mendahulukan sifat Al Ghaffar dan kemudiaan diiringi dengan kerahmatan dan kecintaan pada hambaNya selagi mana hambaNya sentiasa merayu dah berhajat keampunan dariNya.

Sebenarnya apa yang ingin ku beritahu dalam hal ini adalah rentetan sambungan daripada artikel “You are nothing”, bahawa segala apa kebaikan yang dilakukan oleh manusia sebenarnya dipandu oleh sifat rahmat Allah Taala. Mana mungkin untuk kita ke masjid tanpa naluri itu digerakkan oleh Allah, setelah mana naluri itu digerakkan, dianugerahkan pula kesihatan yang baik untuk menunaikan hasrat naluri tersebut, tanpa kesihatan yang baik, apakah kita berdaya untuk melangkah ke masjid? Tanpa Allah lindungi daripada perkara-perkara yang tidak baik dalam perjalanan ke masjid apakah kita mampu untuk menjejaki tangga masjid? Semuanya itu adalah datang daripada rahmat Allah Taala. Lantaran itu, adalah menjadi kemestian bagi manusia untuk bersyukur atas segala rahmat, hidayah yang dilimpahkan Allah selama ini. TanpaNya, you are nothing buddy.

Mari Bercerita 2

Posted on Updated on

Kisah Qarun Ditelan Bumi

*These two stories was created is to fulfilled my friends need to get prepare for their pupils during Islamic Lecture Contest inter school. One for boy and one for girl. Good luck !

Kisah Qarun adalah kisah seorang manusia yang hidup di zaman nabi Musa a.s yang mana Allah Taala telah mengurniakan kekayaan dan keluasan harta, namun dia beranggapan bahawa kekayaan yang dimilikinya itu adalah hasil daripada diri dan usahanya, bukan anugerah daripada Allah S.W.T. Perkara ini telah diberitahu oleh Allah Taala dalam surah Al Qasas ayat 78 yang bermaksud : Qarun berkata, sesungguhnya aku hanya diberi harta itu adalah kerana ilmu yang ada padaku. Menurut Imam Qurtubi, Qarun ini kaya disebabkan oleh beliau merupakan orang kanan Firaun, ada juga berpendapat yang Qarun ini telah mewarisi khazanah kekayaan yang dimiliki nabi Yusuf a.s, dan ada juga yang mengatakan bahawa Qarun ini kaya disebabkan kemahirannya menguasai ilmu kimia.[1]  Jumlah harta dan kekayaan Qarun ini telah digambarkan oleh Allah Taala dalam surah al Qasas ayat 76 yang bermaksud : Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.

Apa yang menyedihkan, kekayaan yang dimiliki oleh Qarun ini, bukanlah digunakan untuk membantu dan menolong golongan susah yang hidup dizamannya, sebaliknya menjadikan Qarun semakin sombong dan bongkak kepada manusia, sekaligus menolak serta memperlekeh ajaran nabi Musa a.s. Ini bertepatan dengan firman Allah Taala surah Al Alaq ayat 6-7 yang bermaksud : Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup. Untuk membuktikan bahawa Qarun ini lebih hebat daripada nabi Musa a.s, beliau telah mempamerkan segala hartanya dan menunjukkan perhiasan kekayaannya untuk tontonan umum pada masyarakat di zamannya. Tujuannya adalah untuk menyatakan bahawa kekayaan itu adalah mulia dan kemiskinan itu adalah hina, sepertimana yang diberitahu oleh Allah Taala dalam surah Al Qasas ayat 79 yang bermaksud : Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia, moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar.

Qarun bukan sahaja sombong dan bongkak, tetapi Qarun juga adalah seorang yang zalim. Ini terbukti apabila Qarun telah membuat konspirasi menuduh dan memfitnah nabi Musa a.s melakukan zina dengan seorang perempuan. Qarun telah menggunakan segala harta dan kekayaan yang dimilikinya untuk  mengupah seorang wanita supaya mengaku telah melakukan zina dengan nabi Musa a.s, namun konspirasi itu gagal apabila Allah menurunkan kitab Taurat yang membebaskan nabi Musa a.s daripada difitnah oleh Qarun. [2] Segala kezaliman dan kesombongan Qarun ini terhadap nabi Musa a.s dan rakyat dizamannya, telah mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Allah tidak suka kepada orang yang zalim, diktator dan penindas. Balasan di atas segala kejahatan Qarun ini telah termaktub dalam al Quran surah al Qasas ayat 81 yang bermaksud : Maka Kami benamkanlah Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah, dan tiadalah ia termasuk orang-orang yang dapat membela dirinya.

Sebelum mengakhiri cerita ini, ada 2 pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Qarun ini. Pengajaran pertama, kepentingan mengakui dengan penuh keimanan bahawa segala apa yang dimiliki oleh manusia itu sama ada kekayaan, kemewahan, kepandaian, kecantikan dan sebagainya, adalah datang dari kurniaan Allah Taala. Allah berkuasa untuk memberi segala nikmat pada sesiapa yang dikehendaki, dan Allah juga berkuasa untuk menarik nikmat itu kembali, jika nikmat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang dimurkai Allah S.W.T. Pengajaran kedua, keperluan bersyukur kepada Allah S.W.T atas segala nikmat yang diberikan kepada kita. Kesyukuran itu bukan sahaja perlu diterjemahkan dengan ketaatan pada segala perintah Allah S.W.T, tetapi mesti menggunakan segala kurniaan yang dianugerahkan oleh Allah Taala itu untuk berbakti kepada Islam dan manusia seluruh amnya. Sebelum saya mengakhiri cerita ini, izinkan saya untuk membaca sepotong ayat Al Quran ayat 12 yang berbunyi:

وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّماَ يَشْكُرُ لِنَفْسِهْ، وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللهَ غَنِيٌّ حَمِيْد

Dan barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

[1]  الإمام القرطبي، تحقيق: د. عبدالله بن عبد المحسن التركي، الجامع لأحكام القرآن، (بيروت: مؤسسة الرسالة، ط 1، 1427هـ/2006م)، ج 16، ص 315

[2]  الإمام القرطبي، تحقيق: د. عبدالله بن عبد المحسن التركي، الجامع لأحكام القرآن، ج 16، ص 314

Mari Bercerita 1

Posted on Updated on

Kisah Nabi Ismail Yang Dikorbankan

Sebelum saya menceritakan kisah ini dengan lebih terperinci, sukacitanya saya membawa hujjah al Quran pada surah as Soffat ayat 100 yang bermaksud : Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku seorang anak yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar iaitu (nabi Ismail a.s). Nabi Ismail adalah anak kepada nabi Ibrahim, dan apabila nabi Ibrahim sudah mencapai usia tua, beliau memohon kepada Allah agar dikurniakannya seorang anak yang boleh mewarisi perjuangannya selepas ini menyebarkan agama Allah. Doa nabi Ibrahim dimakbulkan Allah, dan lahirlah nabi Ismail. Secara logiknya, mana mungkin untuk nabi Ibrahim melahirkan seorang anak sedangkan beliau dan isterinya Sarah sudah terlalu tua, tetapi kekuasaan Allah itu menguasai segalanya dan melanggar hukum akal manusia. Lahirlah nabi Ismail menjadi permata hati nabi Ibrahim dan isterinya.

Setelah nabi Ismail a.s mencapai usia dewasa dan boleh memikul amanah dakwah yang diwarisi oleh bapanya, dengan tidak semena-mena ayahnya nabi Ibrahim a.s telah bermimpi sepertimana telah dikisahkan oleh al Quran ayat 102 surah As Soffat yang bermaksud : Maka tatkala anak itu sampai pada umur sanggup berusah bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Nabi Ibrahim begitu terkejut dan gementar dengan ujian yang telah Allah berikan ini kepada dirinya dan anaknya. Cuba bayangkan, bagaimana hati dan perasaan seorang ayah terhadap anaknya apabila diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya nabi Ismail a.s? Dalam hal ini, siapakah yang perlu didahulukan, perintah Allah atau perasaan kasih sayang pada seorang anak?

Lantaran itu, sudah menjadi kewajipan seorang ayah untuk berbincang dan mendengar isi hati dan pandangan seorang anak apabila sesuatu masalah itu berlaku bukan sahaja urusan yang melibatkan keagamaan bahkan keduniaan sekalipun. Lantas nabi Ibrahim meminta pandangan anaknya nabi Ismail, seraya berkata sepertimana yang tertulis di dalam al Quran surah As Soffat ayat 102 bermaksud : Maka fikirkanlah apa pendapatmu?, Ia(nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Lihatlah dan perhatikanlah apa yang dijawab oleh seorang anak apabila berhadapan dengan perintah Allah S.W.T, nabi Ismail a.s tidak merasa ragu-ragu, takut, kecewa dan sedih apabila dikhabarkan tentang mimpi itu. Malah nabi Ismail a.s memberikan dorongan dan semangat kepada ayahnya nabi Ibrahim a.s untuk terus yakin dan iltizam melaksanakan perintah Allah S.W.T. Sifat mulia yang ada pada nabi Ismail a.s ini telah Allah khabarkan pada surah Maryam ayat 54 yang bermaksud : Dan ceritakanlah wahai Muhammad kepada mereka kisah Ismail di dalam al Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi.

Nabi Ibrahim telah membaringkan nabi Ismail a.s sepertimana sembelihan yang lain dengan mengikat kedua belah kaki dan tangannya di tanah. [1]  Ketika nabi Ibrahim a.s ingin menyembelih nabi Ismail a.s, nabi Ibrahim mendapat seruan daripada Allah seperti firman Allah yang bermaksud : Dan kami panggillah dia, hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.[2]  Tiba-tiba sedang nabi Ibrahim menyembelih nabi Ismail a.s, Allah telah menukarkan sembelihan itu kepada seekor kambing biri-biri dan ini bertepatan dengan firman Allah Taala yang bermaksud : Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang lebih besar.[3]

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini boleh ditujukan kepada ibu-baba dan anak-anak khususnya. Nabi Ibrahim a.s adalah seorang bapa yang taat pada perintah Allah, dan isterinya juga Sarah adalah seorang wanita yang solehah. Hasil daripada ketaatan suami dan isteri, telah berjaya melahirkan seorang anak yang soleh serta bertaraf seorang nabi sepertinya. Namun, realiti kehidupan nabi Ibrahim a.s dan pengorbanan nabi Ismail a.s tidak diambil pedoman masyarakat Islam Malaysia pada hari ini. Akhirnya, kita melihat golongan muda-mudi telah kehilangan jatidiri dan akhlak sebagai seorang muslim. Hal ini adalah hasil dan berkait-rapat dengan kerosakan institusi kekeluargaan yang telah meminggirkan ajaran Islam dalam keluarga.

Sebelum saya mengakhiri cerita saya pada hari ini sukacitanya saya berpesan kepada diri saya dan anda semua, bahawa ujian dan dugaan yang diterima oleh nabi Ibrahim a.s dan nabi Ismail a.s, adalah cubaan yang amat berat. Adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim khususnya, untuk berpegang pada Allah Taala di samping banyak bersabar tatkala diuji dengan pelbagai mehnah dan cabaran.

[1] فريد، أحمد، تيسير المنان في قصص القرآن، (السعودية: دار ابن الجوزي، د.ت، د.ط)، ص 104-105

[2]  سورة الصافات : 104-105

[3]  سورة الصافات : 107