Adakah Anda Seorang Yang Bersyukur ?

Posted on

Sebentar tadi saya menggenggami buku Ihya Ulumuddin, karangan Imam Ghazali dan meneruskan bacaan pada bab menyatakan sebab-sebab penghalang manusia itu bersyukur pada Allah. Banyak perkara menarik yang boleh dijadikan iktibar bersama. Imam Ghazali menyatakan, antara punca besar mengapa manusia  tidak bersyukur kepada Allah Taala adalah disebabkan oleh sifat jahil dan lalai. Jahil dan lalai dalam ertikata sifat tabii’e (semulajadi) yang menjadi penghalang diri dan akalnya mengenali apa itu nikmat. Malah seseorang itu tidak akan sesekali memahami erti syukur, melainkan mengenali apakah nikmat sebenarnya. Ada yang mendakwa bahawa mereka mengetahui apa itu nikmat, sebagai menunjukkan erti syukur, dua lapis bibirnya berkumat kamit mengucap Subhanallah, Alhamdulillah, realitinya mereka yang mendakwa tahu apa itu nikmat sebenarnya adalah jahil. Oleh itu, bagaimana hendak membuktikan rasa syukur ?

Hakikat kesyukuran itu bukan hanya dengan melafazkan kata zikir, yang lebih utamanya adalah menggunakan nikmat yang diperolehi itu pada jalan yang dikehendaki Allah, iaitu ketaatan kepada Allah. Jika seseorang itu merasakan bahawa dengan memiliki Diploma, B.A, Master, PhD itu adalah nikmat, sewajarnya menggunakan nikmat itu ke arah jalan mentaati Allah. Dengan adanya Diploma, B.A, Master atau PhD, tugas hariannya terarah pada Allah, amalan solehnya semakin bertambah, solatnya berjemaah, lantunan zikirnya istiqamah, qiamulailnya mujahadah. Itulah pengertian syukur. Imam Ghazali menyatakan lagi, punca seterusnya mengapa manusia tidak bersyukur adalah merasakan bahawa nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada dirinya bersifat umum dan sejagat. Bermaksud, nikmat seperti udara dan air itu merupakan anugerah ‘biasa’ yang dinikmati oleh manusia di muka bumi ini, dan ia bukanlah satu nikmat yang terbesar pada dirinya, kerana semua makhluk memiliki dan merasai nikmat ini. Padahal, mereka jahil, jikalau Allah menahan air dan udara itu dari masuk ke bumi, penamatnya seluruh manusia akan mati walau betapa hebat pun darjat mereka di dunia. Kehebatan sains dan teknologi, kepandaian manusia sama sekali tidak boleh mencipta seekor lalat, apetah lagi air dan udara.

Sebab itu, apabila Allah ingin manusia itu bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkannya, dihilangkan nikmat itu. Nescaya manusia bersyukur. Nikmat Allah terlalu luas namun keluasan itu bermula dari sebahagian. Sebagai contoh, kita tidak akan nampak seseorang yang mempunyai dua pasang mata bersyukur melainkan sebelum itu, Allah butakan matanya. Walaupun hanya mata, belum dikira nikmat gigi, rambut, jantung, buah pinggang, kaki dan sebagainya, kesemua nikmat itu tidak tidak terperi besarnya. Oleh yang demikian, apabila manusia mengadu sering ditimpa sengsara, ujian, bala dan malapetaka ada dua perkara yang mesti dilihat. Pertama, ia adalah ujian yang Allah tentukan, untuk menilai hamba tersebut sejauhmana keimanan dan ketakwaannya kepada Allah, kedua, ia bukan ujian, tetapi adalah ‘pukulan’ demi pukulan yang Allah berikan kepada hamba itu agar sentiasa bersyukur kepada Allah, sebagai memberitahu bahawa segala nikmat dan kejayaan yang diperolehi itu bukan datang dari dirinya sendiri, tetapi semua itu adalah dari Allah. Sehinggakan, jika Allah membebaskan hamba itu daripada ujian dengan kadar masa sejam sekalipun, ia tetap kembali derhaka dan kufur.

Adakalanya manusia itu bersyukur berdasarkan pada wang dan harta yang dimilikinya. Jika berharta dan mempunyai wang, ia bersyukur, jika tidak, ia kufur. Disebabkan ukuran itulah manusia lupa pada nikmat Allah yang ada pada dirinya sendiri. Jika terjumpa manusia yang jenis ini, katakan kepada mereka, apakah kamu gembira jika kamu memiliki Rm 1 juta tetapi mata kamu buta ? Apakah kamu gembira, jika kamu memiliki Rm 10 juta tetapi kamu rugi di akhirat ? Apakah kamu gembira jika kamu miliki Rm 1 billion tetapi kamu gila ? Sudah tentu kesemua jawapannya adalah tidak. Dan dikisahkan, pada satu hari, Ibnus Samak seorang ulamak telah masuk berjumpa dengan khalifah dan pada tangannya ada segelas air. Berkata khalifah, berikan aku peringatan. Maka berkata Ibnus Samak, jika aku enggan memberikan kamu segelas air ini dalam keadaan kamu terlampau dahaga, melainkan kamu menyerahkan segala harta kamu pada aku, adakah kamu akan serahkan ? Jawab khalifah, ya. Jika aku enggan menyerahkan segelas air ini melainkan kamu serahkan segala kekuasaan itu pada aku, adakah kamu sanggup serahkan ? Jawab khalifah, ya. Maka berkatalah Ibnus Samak, Janganlah kamu gembira dengan kerajaan yang kamu miliki sekarang kerana nikmatnya tidak mampu menandingi segelas air.

Ini menunjukkan bahawa nikmat Allah yang ada pada diri kita terlalu berharga dan tiada nilainya. Justeru, syukurinya.

6 thoughts on “Adakah Anda Seorang Yang Bersyukur ?

    Anum said:
    15/08/2012 at 8:00 am

    terima kasih atas perkongsian ilmu

      Naem responded:
      15/08/2012 at 9:18 am

      Sama2.

    TMD said:
    27/08/2012 at 8:58 am

    Ada sesetengah orang yang pandai menasihati orang lain tetapi nasihat yang diberikan tu diri sendiri tak dapat nak ikut@ apply. Maaf saudara jangan terasa, saya tak merujuk kepada saudara. Soalan saya, macam mana nak mulakan perubahan dan ikut nasihat sendiri yang pernah diberikan kepada orang lain?

      Naem responded:
      27/08/2012 at 9:35 am

      Terima kasih atas pandangan dan teguran itu. Sy bersyukur jika teguran itu dituju kepada diri saya sendiri.

    TMD said:
    27/08/2012 at 3:01 pm

    Sungguh, saya tak merujuk kepada saudara semasa mengemukakan soalan tersebut. Saya lihat perkara ini berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan mungkin juga diri saya tanpa disedari. Harap mendapat pandangan dan maklumbalas saudara bagi persoalan yang dikemukakan.

    fiq said:
    11/09/2012 at 12:31 am

    salam. boleh bgtau tak bab bahagian apa & mana yang menerangkan mengenai bab syukur ni dalam kitab Ihya Ulumuddin supaya saya mudah mencarinya. selain dr kitab Ihya Ulumuddin boleh tak saudara berikan beberapa input lain yang menerangkan mengenai syukur ini tadi. sebab saya sekarang menjalankan beberapa pembacaan untuk kajian ilmiah saya yang berkaitan dengan tajuk syukur ini tadi. segala maklum balas amatlah diharapkan. terima kasih.

Leave a comment